Tuesday, November 25, 2008

Kerja secara jemaah memperkasa kemajuan ummah

ISLAM membawa satu konsep penting kepada umatnya iaitu melakukan sesuatu perkara atau kerja secara berjemaah bagi memudahkan mencari penyelesaian terutama dalam perkara berkaitan urusan agama serta kehidupan.

Firman Allah yang bermaksud: “Berpegang teguhlah kepada tali Allah, janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah kamu akan nikmat yang dikurniakan Allah kepada kamu.” (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Firman Allah itu menjelaskan kepada kita bahawa Islam amat menitikberatkan semangat bersatu. Malah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Wajiblah kamu bersama-sama dengan jemaah dan berwaspadalah kamu terhadap perpecahan.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala kepada manusia, samalah seperti serigala kepada kambing, ia akan memakan kambing yang jauh terpencil daripada kumpulannya, maka berhati-hatilah kamu dan hendaklah kamu sentiasa bersama-sama dengan jemaah dan orang ramai.” (Hadis riwayat Ahmad)

Dapatlah dikatakan manusia yang selalu bersengketa dan sukar untuk hidup secara berjemaah hanya mementingkan dirinya saja.

Umar Al-Khattab pernah berkata: “Sesungguhnya tiada Islam melainkan dengan jemaah, tiada jemaah melainkan dengan kepemimpinan dan tiada kepemimpinan melainkan dengan ketaatan.” (Hadis riwayat Ahmad)

Jika disusuri perjalanan sejarah awal Islam, kemantapan iman sahabat Nabi SAW diterapkan menerusi ukhuwah yang sentiasa hidup dalam satu jemaah kukuh. Sikap tidak mementingkan diri sendiri terpapar dalam diri mereka yang diselitkan sifat mahmudah.

Percampuran hidup umat Islam terhadap ideologi barat meletakkan betapa pentingnya kehidupan ummah dalam jemaah yang sentiasa berada di atas landasan Islam yang mengamalkan gaya hidup l diredai Allah.

Selain itu, pada masa ini kebanyakan kita dilanda sindrom rendah diri serta kurang daya saing dalam pelbagai lapangan kehidupan khususnya ilmu pengetahuan dan ekonomi. Justeru, umat Islam mesti menyedari hal itu dan bertindak membentuk jemaah yang dapat membela dan memandu umat untuk maju dalam apa saja bidang kehidupan di dunia ini.

Umat Islam yang hidup dalam satu organisasi mantap pasti dapat menjana satu bentuk masyarakat maju. Sebenarnya, hilangnya pengaruh dan kewibawaan umat Islam hari ini akibat beberapa kelemahan yang dihadapi. Oleh itu, untuk jadi kuat, umat islam perlu bersatu. Selain itu, kita harus insaf dan menyedari bahawa kalangan umat Islam kini ada yang mula merungkai ikatan Islam secara sedikit demi sedikit dengan meninggalkan beberapa amalan serta meninggalkan hukum-hakam Islam sejagat.

Kewujudan beberapa kelompok dan puak di kalangan umat Islam menyebabkan berlakunya perpecahan. Sebaliknya, dengan semangat bersatu, perpecahan dapat dielakkan dan fitnah yang dilempar terhadap umat Islam boleh ditapis dengan berkesan.

Senario yang melanda golongan belia Islam hari ini menunjukkan mereka tidak bersemangat menerokai bidang baru seiring perkembangan semasa, sebaliknya banyak terbabit dalam gejala sosial negatif yang semakin merebak luas.

Hal ini memerlukan tindakan bersama di kalangan umat Islam untuk mengatasi apa juga cabaran serta masalah secara bersatu. Begitu juga dalam menghadapi serangan terhadap akidah umat Islam yang dicabar ajaran sesat.

Umat Islam tidak boleh berpecah kerana ia akan menyebabkan kelemahan sedangkan untuk menghadapi cabaran dunia semasa memerlukan kekuatan bukan saja dari segi politik, ekonomi, juga kesatuan sebagai kumpulan yang kuat menyokong satu sama lain.

Berada dalam satu kumpulan yang besar juga membolehkan semua kerja dilakukan dengan berkesan dan cepat dengan syarat masing-masing mengetahui tanggungjawab serta melaksanakannya sebaiknya.

Bersatu teguh, bercerai roboh wajar menjadi pegangan yang mengikat umat Islam supaya sentiasa berada dalam satu kumpulan kerana tanpa sokongan padu semua pihak, sukar untuk mencapai matlamat serta kejayaan diharapkan.

Perbezaan pendapat boleh tetapi jangan sampai memutuskan silaturahim dan sebaiknya perbezaan itu dapat menemukan keputusan lebih baik apabila ada pandangan serta hujah berdasarkan ilmu pengetahuan demi kebaikan umat Islam sejagat.

Artikel ini dipetik dari:
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20081124234616/Article
.

No comments: