Monday, November 24, 2008

Fatwa: Ambil tindakan

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mendesak kerajaan menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan Kanun Keseksaan bagi bertindak ke atas pihak yang mempertikaikan institusi fatwa.

Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tindakan itu penting bagi memelihara kesucian Islam berikutan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media secara terbuka mengeluarkan kenyataan dan laporan yang mencabar institusi berkenaan.

Oleh itu katanya, kerajaan perlu bertindak menggunakan undang-undang tersebut yang membenarkan tindakan diambil ke atas mereka yang beragama Islam mahupun bukan beragama Islam.

‘‘Undang-undang telah ada dan bagi PGSM, kerajaan perlu bertindak segera bagi menangani keresahan umat Islam setelah melihat institusi fatwa dicabar lebih-lebih lagi oleh umat Islam sendiri.

‘‘Selama ini undang-undang telah ada tetapi jarang kita dengar ada pendakwaan diambil tetapi kali ini saya harap demi kesucian agama, ia tidak lagi dibiarkan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Majlis Fatwa Kebangsaan semalam, memutuskan amalan yoga secara sistematik iaitu yang membabitkan gerakan fizikal, bacaan mantera dan matlamat penyatuan diri dengan Tuhan, bertentangan dengan syariat Islam.

Amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga tanpa unsur-unsur mantera dan pemujaan pada zahirnya tidak menjadi kesalahan namun tetap tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menghakis akidah seseorang Muslim.

Susulan daripada itu, beberapa laporan akhbar antaranya memetik pandangan NGO dilihat seakan mencabar Majlis Fatwa Kebangsaan apabila meminta badan itu supaya memberi fokus kepada isu lain yang lebih serius dan bukannya yoga yang hanya satu jenis senaman.

Bagi NGO tersebut, amalan yoga yang disifatkan mereka sebagai senaman menyihatkan tidak pernah menyebabkan pengamalnya menukar agama daripada Islam kepada Hindu atau mengancam kedudukan Islam.

Sebelum ini, dua NGO turut dilaporkan mempertikaikan secara terbuka fatwa pengharaman pengkid.

Sementara itu, Zainul Rijal berkata, di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, sesiapa yang ingkar kepada fatwa yang diwartakan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda RM5,000.

Kata beliau, mengikut seksyen 298A Kanun Keseksaan pula iaitu kesalahan menghina agama, hukuman yang diperuntukkan ialah penjara tidak kurang dua tahun serta denda dan ini terpakai untuk bukan Islam.

‘‘Mencabar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan adalah sama seperti menghina agama Islam kerana institusi fatwa mempunyai peranannya yang tersendiri dan diiktiraf syarak serta Perlembagaan Persekutuan.

‘‘Setiap fatwa adalah untuk menyelamatkan orang Islam daripada tergelincir akidah atau amalan jadi jangan pula ada yang mencabar dan mengingkari termasuk bersubahat seperti menganjurkan kelas yoga,’’ jelasnya.

Menurut Zainul Rijal, sehubungan itu PGSM berharap semua kerajaan negeri segera mewartakan fatwa itu bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil.

‘‘Selagi tidak diwartakan, tindakan undang-undang tidak boleh diambil. Jadi PGSM mendesak pewartaan fatwa ini disegerakan bagi memelihara kedudukan agama Islam.

‘‘Lagipun saya tidak nampak mengapa proses mewartakan fatwa ini perlu dilengah-lengahkan kerana ia tidak melibatkan prosedur panjang. Jadi soalnya antara mahu dengan tidak sahaja,’’ tegasnya.

Dalam pada itu, Zainul Rijal berkata, pihak yang masih tidak berpuas hati boleh mengemukakan pandangan secara terus kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dengan meminta ia disemak semula tetapi mestilah berasaskan hujah pakar.

Katanya, dengan itu barulah ia tidak menimbulkan keresahan umat Islam berbanding dengan mengemukakan pandangan secara terbuka seperti dilakukan sekarang.

Menurutnya, Majlis Fatwa masih boleh menyemak semula fatwa-fatwa yang dikeluarkan dan memang pun ada fatwa yang telah disemak semula sebelum ini.

No comments: