Wednesday, March 03, 2010

Sejati Hingga Ke Mati


Artikel ini dipetik dari blog sahabat ana:
http://puteraazhari.blogspot.com


SUSAH benar berjumpa teman sejati. Menemani di kala duka, sanggup bersusah payah demi kebaikan teman-teman lain. Rupa tidak pernah terkesan sama walaupun diri dilamun kesusahan, di depan kita sentiasa ceria bagaikan tiada masalah menimpa, walhal tong beras di rumahnya sudah kering, walhal duit simpanan cukup makan untuk dua hari sahaja, walhal kemiskinan keluarga menghalang dia mengecapi kehidupan sempurna di perantauan, tiada siapa ambil peduli. Hidup hari ke hari, hanya Allah sahaja mengerti. Dia tahu semua orang simpati, tapi dia tidak sanggup kalau semua ini menjadi bebenan kepada teman-temannya yang lain.

Mungkin tanpa disedari, rupa-rupa di sebelah kita ada sahabat seumpama ini, dia tabah dan kuat hadapi mehnah membadai. Sejatinya ukhuwwah ditunjukkan, tiada apa paling sempurna dalam dunia melaikan sempurna ajal kita di helaan terakhir, mati dalam husnul khatimah. Pernahkah kita mengambil tahu perihal masalah teman itu. Sangat buruk kelakuan kita, andai kita senang berbelanja keperluan peribadi tapi gagal melihat kesusahan teman serumah, teman sebilik hanya berpas-pasan hidup membilang tabung duit, terlebih buruk lagi kita makan untuk kenyang perut sendiri, tapi teman dibiarkan kebuluran.

Bila kita berada dalam kesempitan, dia sanggup buat apa sahaja asalkan kita senang, dia tidak pernah mengungkit itu dan ini. Pernahkah kita ditimpa rasa risau bukan kerana masalah kita, tapi risau teman kita belum makan, risau teman kita mengidap sakit, risau teman kita tidak punya belanja cukup, risaukan teman-teman lain melebihi risau diri sendiri. Pernah?

Kalau belum, iman kalian masih dirundum masalah, iman kalian masih mandul, iman kalian belum sempurna. Benar, tiada siapa sempurna tapi kalian tidak mempunyai ‘nafsu’ untuk menjadi lebih sempurna. Bagaimana? Antara lain adalah menjadi sejati, dan mengerti erti sejati pada pandangan mata hati teman-teman kalian.

Memang diakui memang sukar untuk mencari sahabat. Kawan memang ramai tapi dalam banyak-banyak kawan tu belum tentu satu pun yang akan terus menjadi sahabat anda sehingga akhir hayat. Malah pasangan anda juga belum tertakdir untuk menjadi seorang sahabat. Masalah bukan dia, bukan salah sesiapa dalam hal ini tapi kita. Kita tidak pernah menunding jari pada diri, kenapa tidak sahaja kita mulakan dahulu erti sejati tadi, kita lakukan dulu.

Sudah!!!

Saya tidak mahu lagi dengar alasan dangkal kalian itu, bukan itu saya mahukan. Biar saya sahaja berbicara tentang sejati. Kalian cuma pasang telinga ‘hati’, cermati dengan mata ‘hati’, dengar dan cermati baik-baik...

Susah mencari teman sejati, sehati, dan semati. Kita diberi akal supaya bijak bersepsi. Ya.. bergantung kepada persepsi kita kepada maksud sejati itu, adakah kita mahu dia tunduk kepada kita, atau sentiasa menemani kita di kala susah senang. Apakah kita sanggup melakukan hal yang sama? Atau hanya kerana ada maksud tertentu. Bila maksud itu telah dicapai, atau tidak dapat dicapai lalu kita ditinggalkan.

Kalian silap.

Teman sejati, ialah teman yang tidak mengenal keburukan kita tapi mengenal kebaikan kita. Dia tidak pernah mengenal senang kita, tapi mengenal susah kita. Inilah yang cuba saya tekankan di sini. Dia tidak pernah mengharap redha kita, tapi mengharap redha-Nya. Kerana kejujuran kita, dia jatuh sayang kepada kita. Sejatinya dia kepada kita, dia tidak pernah tahu apakah kebaikan yang dia telah lakukan untuk kita.

Memang lumrah hidup, kadang-kadang apabila kita melihat kebaikan orang lain, kita hanya akan memikirkan dan mengharapkan yang baik-baik sahaja, serba-serbi sempurna, tiada cacat-cela. Pantang ada sedikit kesilapan, kita akan cepat-cepat menuding jari, menghukum si dia yang hanyalah insan biasa seperti kita. Mulalah kita akan bercakap yang bukan-bukan. Tapi dia sabar, sebab dia ada sejati di dalam hati.

Tugas kita bukan mencari sempurna luaran sahaja, berkedudukan, berharta, itu adalah bonus kalian, tapi kita mahukan adalah sempurna iman kerana adanya sejati. Tidak mengapalah kalian mencari kurang sejati, tapi kerana kalian sempurna, sejati, kalian mampu mendidik dia menjadi sejati jua.

Kalau tidak kerana sejati di hati, manakan Kota Madinah menjadi negara Islam pertama di dunia. Kalau bukan kerana sejati, masakan Abu Bakar ra sanggup meninggalkan kekuasaan, kekayaan kerana Islam, cinta beliau kepada baginda s.a.w. Kalau bukan kerana sejati manakan Kota Kostentinopel berjaya ditawan oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Kalau bukan kerana sejati, masakan Baitul-Maqdis dapat dipertahankan hingga ke hari ini. Darah syahid mereka menjadi saksi akan sejati mereka mempertahankan hak pribumi. Kerana apa semua ini, kalau bukan sejati.

Umat Islam adalah pengikut yang setia, sejati dilipatan sejarah. Kini kesedaran berukhuwwah di kalangan anak-anak muda makin merusut. Nah, lihat sahaja di madrasah, di sekolah agama sebagai bukti. Di manakah akhirnya mereka? Mereka terpaksa bergelumang dan bersaing dengan pelbagai macam jurus pemikiran, silibus, dan anasir sosial, hingga lupa matlamat sosial akhirnya adalah sejati.

Walau apapun jua balada, mahupun krisis dilagukan, kita tetap sahaja berkehendakkan seorang sahabat, seorang kawan, seorang teman sejati di sisi. Seorang imam tetap sahaja dianggap gagal, jika jamaah solat di surau makin hari makin surut, waima sekalipun dia mempunyai ramai Bilal yang lunak suara mengajak manusia solat dan menuju kejayaan. Kenapa? Kurangnya sejati antara imam, bilal dengan jamaah.

Baiklah teman sejati...

SEJATI DI HATI SAYA

Saya faham akan perasaan itu. Saya seorang yang gemarkan sesuatu yang melibatkan artistik atau kreativiti seperti menulis. Bahkan, saya jenis seorang yang suka berkongsi pendapat dan idea mengenai perkara-perkara tersebut. Tetapi, setakat ini saya belum berjumpa mereka yang boleh berkongsi semua itu dengan saya.

Rata-rata rakan-rakan yang rapat dengan saya kecenderungan mereka ke arah lain. Akhirnya, mahu tidak mahu saya akan ikut rentak mereka. Tetapi, tatkala bersendirian, saya akan jalankan aktiviti dan minat saya itu. Tetapi, saya sunyi bila mengenangkan saya terpaksa bersendirian layan minat saya itu.

Paling saya terharu, rata-rata orang yang memberikan sokongan dan sekali-sekala berkongsi idea dan minat saya itu ialah orang yang jarang saya jumpa atau senang cerita seseorang yang tidak rapat dengan saya. Bahkan, minat saya dalam penulisan dibantu oleh rakan yang saya langsung tidak rapat. Rupa-rupanya, sejati tidak semestinya bisa dilihat di mata, tapi kuat di hati, kuat mengikat walaupun tidak pernah bersua. Kalian adalah sahabat sejati saya. Terima kasih untuk itu.

Suka duka saya mereka cuba fahami walaupun kadang-kala sukar.

Mereka mungkin bukanlah teman sejati atau sahabat sejati tetapi pada pandangan kalian, tapi bukan saya. Bagi saya mereka tetap kawan yang terbaik. Kawan yang sudi memahami dan memberi sokongan. Bagi saya itu yang terbaik.

Saya ada pandangan saya sendiri tentang sahabat sejati. Sahabat sejati ialah anugerah dari Allah Taala. Dia bukan milik kita. Dia ialah pinjaman semata-mata di mana suatu saat nanti, dia tetap diambil oleh-Nya. Dia ialah seseorang yang memang dicipta untuk kita. Walau dalam keadaan apa sekalipun, hatinya tidak mudah mengatakan benci, tapi dia bukan sukar ungkapkan kata ‘sayang’.

Saya percaya pada satu sahaja. Orang yang benar-benar sayang atau anggap kita sebagai sahabat sejatinya, lidahnya sukar bicarakankan apa-apa, sebab dia tahu, sekali dia tuturkan sayang sehingga bila-bila pun dia akan sayang. Dia takut, nanti dia kehilangan kita, dan dia akan merana. Sebelum dia bicarakan apa-apa, lebih baik dia berserah sahaja. Dia percaya, jika sudah tertulis dia adalah sahabat sejati dunia dan akhirat, macam mana berpisah pun, jika ikatan hati itu kukuh, persahabatan sejati itu tetap akan terus kekal sampai ke akhirat.

Sudikah kalian menjadi teman sejati mulai saat ini? Berjanjilah dengan saya, buktikan kalian juga diciptakan untuk berpas-pasan demi kebahagian sahabat, kawan, teman dicintai. Sejati di hati hingga mati.

Kalian adalah sahabat sejati saya mulai sekarang.

1 comment:

Vita Meglio said...

salam..

insyaallah.. =)