Monday, September 08, 2008

Sultan Muhammad al-Fateh: Inspirasi Kebangkitan Minda Mahasiswa

Sejarah telah mencatatkan bahawa Islam pernah menguasai sebanyak 2/3 dunia pada zaman kegemilangannya. Kegemilangan tamadun Islam ini berpunca daripada hasil usaha umatnya yang terlalu cintakan untuk melihat agamanya berada tinggi melebihi apa-apa yang ada di bumi ini kerana Islam itu sememangnya tempatnya adalah yang tertinggi.

Sememangnya, sejarah telah menyaksikan kepada kita, kebangkitan Islam itu adalah berpunca daripada golongan belia dan pemuda-pemuda yang cintakan keredhaan dari Allah. Disini penulis lebih suka untuk menyebut bahawa golongan pemuda-pemuda tersebut adalah golongan mahasiswa. Golongan mahasiswa adalah pemuda. Golongan yang intelek. Golongan yang inginkan perubahan.

Sebaik-baik pemimpin, sebaik-baik tentera

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”

Sebagai seorang mahasiswa, kita sememangnya adalah golongan pencorak masa depan negara. Golongan yang mampu merubah masa hadapan. Mari kita soroti sejarah perjuangan seorang khalifah Islam suatu ketika dahulu. Seorang mahasiswa yang telah mengubah dunia. Walaupun baginda ialah seorang khalifah, baginda turut merupakan seorang mahasiswa. Disini penulis suka menonjolkan perkataan mahasiswa kerana penulis juga merupakan seorang mahasiswa.

Sultan Muhammad al-Fateh, adalah sebaik-baik pemimpin yang disebut di dalam hadis Rasulullah di atas. Baginda menaiki takhta semasa hanya berumur 19 tahun. Di umur kita masih bergelar seorang mahasiswa. Bagindalah merupakan orang yang pertama yang berjaya menawan kota Constantinople walaupun sebelum baginda lagi, banyak percubaan untuk menawan Constantinople, tetapi semuanya tidak berjaya.

Role model yang intelek dan bersahsiah

Bagi penulis, penulis beranggapan bahawa sebagai seorang mahasiswa, Sultan Muhammad al-Fateh sememangnya amat layak untuk dijadikan sebagai idola setiap mahasiswa. Baginda merupakan seorang yang intelek dan penuh bersahsiah. Baginda menguasai pelbagai jenis ilmu sejak dari kecil lagi. Baginda mendapat pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam ilmu peperangan, baginda menguasai taktik peperangan, memanah, menunggang kuda dan segala aspek ilmu ketenteraan. Di dalam bidang pemerintahan, baginda adalah seorang khalifah yang berjaya membangunkan negara dan rakyat serta matang menangani masalah negara. Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew.

Keazaman yang gigih dan tidak berputus asa

Sifat gigih berusaha dan tidak berputus asa seharusnya dan sewajibnya tertanam dalam diri setiap mahasiswa. Setiap kejayaan itu tidak akan berhasil sekiranya kita tidak berusaha dan berputus asa seandainya kita gagal menghadapi pelbagai halangan menimpa.

Selepas menaiki takhta kerajaan Uthmaniyyah, Sultan Muhammad al-Fateh berusaha setiap hari meneliti dan mengkaji setiap aspek tentang peta dan geografi Kota Constantinople. Baginda mem“postmortem”kan setiap aspek yang membawa kegagalan kepada tentera-tentera yang terdahulu yang pernah mencuba untuk menawan Constantinople. Baginda gigih merancang dan merencana strategi yang bakal di gunakan untuk menawan Kota Constantinople nanti.

Di dalam medan peperangan, tentera Islam pimpinan Sultan Muhammad al-Fateh mendapat tentangan yang maha hebat dari tentera Byzantine yang mempertahankan Kota Constantinople dari ditakluki. Peperangan tersebut berlanjutan melebihi 50 hari. Keadaan ini memberikan tekanan kepada tentera Islam dan menyebabkan mereka hampir berputus asa. Di saat itu, Sultan Muhammad al-Fateh bangkit menyeru kepada tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid, ikutlah aku!”. Mendengar seruan tersebut, tentera Islam kembali bersemangat untuk meneruskan perjuangan demi menepati janji Rasulullah iaitu untuk menjadi sebaik-baik tentera yang mampu menawan Kota Constantinople.

Bijak merancang dan berfikiran di luar kotak

Sebagai mahasiswa, kita sepatutnya mampu merancang dan berfikiran di luar kotak untuk menangani sesuatu perkara. Penulis teringat kata-kata daripada seorang pensyarah yang dijemput khas dari Universiti Malaya untuk memberi ceramah motivasi ketika penulis masih menuntut di Kolej Mara Kulim pada tahun 2006. Beliau mengatakan bahawa seseorang itu perlu berfikiran jauh melangkaui 38 tahun ke hadapan. Sebagai seorang mahasiswa, kita sepatutnya berfikiran “beyond the future”.

Di dalam peperangan untuk menawan Kota Constantinople tersebut, Sultan Muhammad al-Fateh telah menunjukkan satu strategi peperangan yang tidak pernah difikirkan oleh sesiapa pun. Sejarawan menyifatkan bahawa strategi tersebut merupakan strategi peperangan yang terbaik yang pernah dilakukan. Sultan Muhammad al-Fateh “melayarkan” kapal-kapal perangnya di atas daratan mendaki bukit. Satu strategi yang mustahil dilakukan, kapal laut berlayar di atas daratan. Namun, dengan kebijaksanaan dan keintelektualan sebagai seorang mahasiswa, Sultan Muhammad al-Fateh mampu melakukan sesuatu yang mustahil dan akhirnya berjaya menawan Kota Constantinople yang hebat dipertahankan oleh tentera Byzantine. Sesungguhnya, yakinlah bahawa pertolongan Allah itu pasti ada.

Karisma seorang ‘abid dan pemimpin

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan setelah Kota Constantinople ditawan, timbul pertanyaan siapa yang layak untuk menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali, silalah duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak ada seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, silalah duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, silalah duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam hadisnya itu.

Kita sebagai seorang mahasiswa, penekanan tentang aspek spiritual dan kerohanian hendaklah di mantapkan. Apa gunanya andai kita digelar intelektual, mendapat First Class Degree sekalipun di majlis graduasi di Dewan Canselor, tetapi kita gagal menerima segulung ijazah dari sebelah tangan kanan kita ketika berlangsungnya majlis graduasi amalan kita di Padang Mahsyar kelak. Jadilah kita seorang ‘abid dan seorang pemimpin yang mampu memimpin diri kita dan masyarakat ke arah yang lebih baik. Contohilah sifat Sultan Muhammad al-Fateh yang tidak pernah sesekali meninggalkan solat walaupun solat tahajjid sekalipun. Baginda adalah seorang mahasiswa, seorang pemimpin dan baginda juga adalah seorang ‘abid yang taat kepada perintah Tuhannya.

“Mahasiswa Peneraju Keunggulan Ummah”

“Mahasiswa Merintis Ilmu dan Isu”

1 comment:

Hammam said...

bagus postnya
salam kenal, saya dari Indonesia...