Tuesday, November 25, 2008

Pemimpin dibimbing iman tidak taksub terhadap pengaruh, kuasa

KHALIFAH Ali dalam suratnya yang panjang kepada Malik bin al-Harith al-Ashtar selepas pelantikan Malik sebagai gabenor Mesir pada 658 M. (38H), Khalifah Ali antara lain mengingatkan Malik bahawa pemilihannya untuk memikul amanah memimpin rakyat adalah ujian bagi dirinya. Justeru, Malik diberikan panduan yang begitu terperinci bagi melaksanakan amanah kepemimpinan itu yang merangkumi sikap dan layanan terhadap segenap lapisan rakyat, selain hak dan tanggungjawab mereka; nasihat yang perlu diterima dan dituruti; syarat pemilihan pegawai utama kerajaan, usaha meneladani kejayaan dicapai pemimpin terdahulu; langkah harus diambil dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan yang timbul berkaitan urusan kepemimpinan dan sebagainya.

Malah, Khalifah Ali juga menegaskan bahawa sekiranya kuasa yang dimiliki oleh Malik itu mendorongnya berasa bangga dan megah, maka beliau harus mengingatkan dirinya mengenai kebesaran dan keagungan Allah swt. Demikian juga kekuasaan Maha Pencipta itu terhadap dirinya kerana kekuasaan seumpama itu tidak sama sekali dimiliki dirinya sendiri. Tindakan itu, menurut Khalifah Ali akan mendorong gabenor dilantik itu supaya sentiasa menilai atau bermuhasabah akan cita-cita serta impian dirinya dan mengekalkan pertimbangan diri yang waras.

Isi kandungan surat yang sarat dengan nasihat, peringatan tegas dan amaran itu menjelaskan bahawa kepemimpinan dan kekuasaan adalah amanah yang membawa bersama-sama dengannya tanggungjawab (taklif) dan pertanggungjawaban (mas’uliyyah). Sehubungan itu, persoalan seperti apakah sifat asasi yang mencirikan amanah; apakah yang diperlukan untuk menunaikan amanah, kepada siapakah seseorang (pemimpin) itu akan dipertanggungjawabkan; begitu berkaitan dengan seseorang pemimpin.

Pada hari ini, kekuasaan tidak lagi dianggap sebagai ujian dan menjadi sesuatu yang menimbulkan kebimbangan serta kegusaran yang besar bagi sebahagian besar manusia. Malah, mereka sebaliknya menganggap kepemimpinan, pengaruh serta kekuasaan sebagai suatu keistimewaan dan pengiktirafan tinggi yang diberikan kepada individu yang memilikinya. Ia tidaklah menghairankan kerana pengaruh dan kekuasaanlah yang membolehkan mereka menjalani kehidupan yang dilimpahi kemewahan serta kemasyhuran.

Oleh itu, ia menjadi rebutan dan cita-cita hidup mereka. Segala usaha dan tumpuan diberikan bagi mendapatkan dan mengekalkan kekuasaan untuk suatu tempoh yang seolah-olah tiada hadnya. Malah, kehilangan kekuasaan serta pengaruh begitu ditakuti dan sekiranya ia berlaku, ia mengundang kedukaan yang tidak terucap. Seolah-olah dunia sudah pun kiamat dan berakhirlah kehidupan mereka di dunia yang fana ini.

Manusia yang begitu taksub dan cinta akan pengaruh serta kekuasaan ini dapat dilihat di mana-mana juga; tanpa mengira rumpun bangsa dan kelompok masyarakat, atau tempatnya, iaitu sama ada yang dekat atau di sekeliling kita, mahupun yang jauh daripada pandangan mata. Dalam hubungan ini, bekas pemimpin negara jiran, Thaksin Shinawatra, boleh disebut sebagai contoh. Kuasa yang dimiliki mendorong dirinya mengaut keuntungan tidak terbatas demi kepentingan diri dan mengetepikan hak, kebajikan serta kepentingan rakyat.

Walaupun pelbagai tindakan dikenakan terhadapnya seperti penyingkiran daripada jawatan Perdana Menteri, buang negeri dan hukuman penjara (keputusan Mahkamah Agung Thailand pada 21 Oktober 2008 mendapati Thaksin bersalah kerana konflik kepentingan dalam urusan pembelian tanah daripada agensi kerajaan), selain tuduhan kerana pembabitan jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa, ia sama sekali tidak memberikan pengajaran kepadanya.

Malah, Thaksin berusaha keras dan menggunakan pelbagai helah untuk menyelamatkan segala-gala yang dimilikinya. Thaksin yang dianggap sebagai ahli politik terkaya, termasyhur dan paling berkuasa di negaranya barangkali tidak sama sekali menganggap bahawa tindakannya itu salah kerana alasannya yang pelbagai.

Satu daripadanya berkemungkinan disebabkan sokongan yang diterima daripada penyokongnya yang setia dan tidak menganggap perbuatannya itu sebagai pengkhianatan terhadap hak serta kepentingan mereka sebagai rakyat. Sungguhpun tidak dapat menerima tindakan Thaksin demi mempertahankan kemewahan dan kedudukannya itu, barangkali ia tidaklah begitu menghairankan kita. Namun yang menimbulkan kebencian dan mencalar hati kita ialah jika pemimpin daripada dunia kita sendiri yang bertindak sama seperti bekas pemimpin Thailand itu.

Seperkara yang tidak dapat dipisahkan daripada amanah (kepemimpinan, kedudukan dan kekuasaan) ialah iman. Imanlah yang menerbitkan sifat amanah dalam diri sehingga mendorong individu yang memikul sesuatu amanah, melaksanakan amanah itu dengan sehabis daya serta kudratnya. Iman jugalah yang akan mendorong seseorang pemimpin misalnya, untuk menilai sama ada tindakannya benar atau salah.

Demikian juga dengan matlamat serta tujuannya, sama ada demi maslahah ummah atau sebaliknya hanya menyakiti, memudaratkan dan mengorbankan hak serta kepentingan mereka.

Oleh itu, pemimpin yang dibimbing oleh keimanan, sama sekali tidak akan terkeliru, kebingungan dan hanyut dalam ketaksuban mereka terhadap pengaruh serta kekuasaan sehingga mereka tidak dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil.

Bahkan mereka juga akan mengambil tindakan tegas dan bijaksana dengan berpandukan ilmu, demi mengutamakan maslahah umum dan mengetepikan sama sekali kepentingan peribadi, walaupun memperoleh sokongan yang besar untuk terus mempertahankan kuasa yang dimiliki. Mereka menyedari bahawa amanah besar lagi berat yang dipikul oleh mereka, tidak akan terlepas daripada perhitungan Allah swt pada hari akhirat kelak.

Kegagalan mereka untuk melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab, iltizam serta kesungguhan yang tinggi hanya akan mengakibatkan mereka ketika itu diselubungi penyesalan yang tidak berpenghujung dan tiada pula gunanya lagi.

Artikel ini dipetik dari:
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20081124234532/Article/index_html
.

Kerja secara jemaah memperkasa kemajuan ummah

ISLAM membawa satu konsep penting kepada umatnya iaitu melakukan sesuatu perkara atau kerja secara berjemaah bagi memudahkan mencari penyelesaian terutama dalam perkara berkaitan urusan agama serta kehidupan.

Firman Allah yang bermaksud: “Berpegang teguhlah kepada tali Allah, janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah kamu akan nikmat yang dikurniakan Allah kepada kamu.” (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Firman Allah itu menjelaskan kepada kita bahawa Islam amat menitikberatkan semangat bersatu. Malah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Wajiblah kamu bersama-sama dengan jemaah dan berwaspadalah kamu terhadap perpecahan.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala kepada manusia, samalah seperti serigala kepada kambing, ia akan memakan kambing yang jauh terpencil daripada kumpulannya, maka berhati-hatilah kamu dan hendaklah kamu sentiasa bersama-sama dengan jemaah dan orang ramai.” (Hadis riwayat Ahmad)

Dapatlah dikatakan manusia yang selalu bersengketa dan sukar untuk hidup secara berjemaah hanya mementingkan dirinya saja.

Umar Al-Khattab pernah berkata: “Sesungguhnya tiada Islam melainkan dengan jemaah, tiada jemaah melainkan dengan kepemimpinan dan tiada kepemimpinan melainkan dengan ketaatan.” (Hadis riwayat Ahmad)

Jika disusuri perjalanan sejarah awal Islam, kemantapan iman sahabat Nabi SAW diterapkan menerusi ukhuwah yang sentiasa hidup dalam satu jemaah kukuh. Sikap tidak mementingkan diri sendiri terpapar dalam diri mereka yang diselitkan sifat mahmudah.

Percampuran hidup umat Islam terhadap ideologi barat meletakkan betapa pentingnya kehidupan ummah dalam jemaah yang sentiasa berada di atas landasan Islam yang mengamalkan gaya hidup l diredai Allah.

Selain itu, pada masa ini kebanyakan kita dilanda sindrom rendah diri serta kurang daya saing dalam pelbagai lapangan kehidupan khususnya ilmu pengetahuan dan ekonomi. Justeru, umat Islam mesti menyedari hal itu dan bertindak membentuk jemaah yang dapat membela dan memandu umat untuk maju dalam apa saja bidang kehidupan di dunia ini.

Umat Islam yang hidup dalam satu organisasi mantap pasti dapat menjana satu bentuk masyarakat maju. Sebenarnya, hilangnya pengaruh dan kewibawaan umat Islam hari ini akibat beberapa kelemahan yang dihadapi. Oleh itu, untuk jadi kuat, umat islam perlu bersatu. Selain itu, kita harus insaf dan menyedari bahawa kalangan umat Islam kini ada yang mula merungkai ikatan Islam secara sedikit demi sedikit dengan meninggalkan beberapa amalan serta meninggalkan hukum-hakam Islam sejagat.

Kewujudan beberapa kelompok dan puak di kalangan umat Islam menyebabkan berlakunya perpecahan. Sebaliknya, dengan semangat bersatu, perpecahan dapat dielakkan dan fitnah yang dilempar terhadap umat Islam boleh ditapis dengan berkesan.

Senario yang melanda golongan belia Islam hari ini menunjukkan mereka tidak bersemangat menerokai bidang baru seiring perkembangan semasa, sebaliknya banyak terbabit dalam gejala sosial negatif yang semakin merebak luas.

Hal ini memerlukan tindakan bersama di kalangan umat Islam untuk mengatasi apa juga cabaran serta masalah secara bersatu. Begitu juga dalam menghadapi serangan terhadap akidah umat Islam yang dicabar ajaran sesat.

Umat Islam tidak boleh berpecah kerana ia akan menyebabkan kelemahan sedangkan untuk menghadapi cabaran dunia semasa memerlukan kekuatan bukan saja dari segi politik, ekonomi, juga kesatuan sebagai kumpulan yang kuat menyokong satu sama lain.

Berada dalam satu kumpulan yang besar juga membolehkan semua kerja dilakukan dengan berkesan dan cepat dengan syarat masing-masing mengetahui tanggungjawab serta melaksanakannya sebaiknya.

Bersatu teguh, bercerai roboh wajar menjadi pegangan yang mengikat umat Islam supaya sentiasa berada dalam satu kumpulan kerana tanpa sokongan padu semua pihak, sukar untuk mencapai matlamat serta kejayaan diharapkan.

Perbezaan pendapat boleh tetapi jangan sampai memutuskan silaturahim dan sebaiknya perbezaan itu dapat menemukan keputusan lebih baik apabila ada pandangan serta hujah berdasarkan ilmu pengetahuan demi kebaikan umat Islam sejagat.

Artikel ini dipetik dari:
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20081124234616/Article
.

Tazkirah Remaja: Solat didik umat Islam hargai waktu

SOLAT adalah satu institusi yang sangat agung mendidik insan dari segala aspek. Antaranya supaya seseorang itu menjadi tidak malas dan tidak mensia-siakan masa.

Ketika waktu menjelang siang, muazzin mengingatkan masa tidur sudah berlalu. Sekarang tiba siang dan waktu siang bukan lagi untuk tidur, sebaliknya sekarang adalah waktu untuk membina dunia.

‘Marilah solat, marilah menuju kejayaan. Solat lebih baik daripada tidur.’ Hebatnya solat yang memberi motivasi pagi.

Apabila matahari menegak di atas kepala ketika asyik dengan tugas diingatkan lagi, ‘marilah solat’ Zuhur. Ia mengingatkan kita supaya prihatin dengan masa.

Apabila bayang sama panjang dengan benda dan matahari mula melabuh, datang lagi seruan ‘marilah solat’, malah ketika matahari tenggelam dan tidak nampak lagi cahayanya, suara ‘marilah solat’ datang lagi.

Ketika luput lembayung merah di langit, muazzin sekali lagi mengajak manusia berkumpul untuk menunaikan solat secara berjemaah. Begitulah hidup kita membuka dan menutup hari dengan solat.

Ada pepatah berbunyi, ‘time is money’ (masa adalah wang) dan ‘time is running like arrow’ (masa bergerak laju seperti anak panah), kedua-dua ungkapan itu menggambarkan sifat masa sangat bernilai dan berlalu begitu pantas.

Solat sangat mendesak umat Islam supaya menukarkan masa menjadi ‘money’. Ramai orang tahu masa itu emas tetapi tidak ramai orang tahu bagaimana hendak menukar masa menjadi emas.

Bila tidak menghayati solat, kita banyak menghabiskan masa dengan sia-sia. Salah satu cara bagaimana menukar masa kepada emas ialah tidak malas atau belajar bagaimana mengisi masa dengan berfaedah, menggunakan masa dengan cermat, cepat dan tepat.

Menggunakan masa dengan cermat maknanya jangan sampai masa kita dicuri oleh kelalaian, kealpaan kerja yang tidak berfaedah seperti berkhayal, lepak kosong dan jangan sampai orang mengambil masa kita yang sangat berharga itu.

Menggunakan masa dengan cepat maknanya jangan bertangguh apabila sudah merancang sesuatu.

Peluang kadangkala hanya datang sekali. Kita ada tiga masa sahaja iaitu ‘past time’ sebagai pengalaman, kita ada ‘present time’ iaitu masa sekarang dan kita ada ‘future time’ iaitu hari depan atau hari akhirat.

Ketiga-tiga masa itu sangat bergandingan. Lambat bertindak, akibatnya penyesalan. Menggunakan masa dengan tepat maknanya buat kerja betul pada masa yang betul.

Seperti membunuh dalam peperangan akan digelar sebagai wira negara tetapi kalau membunuh orang tanpa sebab akan dihukum gantung. Berbogel dalam bilik air adalah harus tetapi berbogel di tengah khalayak, orang gila namanya.

Allah berfirman yang antara lainnya bermaksud: “Apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan) maka kerjakanlah dengan sungguh-sungguh urusan yang lain dan hanya Tuhanmulah tempat kamu berharap.”

Ayat di atas mengisyaratkan agar kita menyiapkan kerja dengan sempurna, barulah melakukan kerja lain dengan cermat, cepat dan tepat serta menggantungkan harapan hanya kepada Allah.

Selepas merancang, berserah dan bertawakal kepada Allah. Sebenarnya tiada sesuatu yang untung, yang kita dapat daripada kemalasan kecuali penyesalan dan kekecewaan.

Jaminan Allah, telah berjaya orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Orang khusyuk sebenarnya mereka yang belajar, bukan sahaja fikah solat yang betul tetapi juga falsafah di sebalik tarbiah solat.

Artikel ini dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/AdDin/20081121105358/Article/indexv_html
.

Monday, November 24, 2008

Michael Jackson buktikan agama Islam benar - Nik Aziz

KOTA BHARU, 23 Nov (Hrkh) - Keputusan penghibur terkenal dunia, Michael Jackson, 50 menganut agama Islam baru-baru ini membuktikan agama berkenaan benar dan bukan rekaan manusia.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, agama Islam diterima oleh sesiapa sahaja termasuk superstar dunia setelah mendapat hidayah daripada Allah Taala.

"Islam sendiri tidak pernah memaksa sesiapa pun memeluk agama itu kerana ia merupakan agama yang benar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia Ke-83 di sebuah hotel di sini semalam.

Beliau diminta mengulas keputusan penyanyi terkenal berkenaan memeluk agama Islam sebagaimana dilaporkan media semalam.

Penyanyi kontroversi Amerika itu menukar namanya kepada Mikaeel Jackson. Nama itu merupakan pilihannya sendiri. Mikaeel merupakan nama malaikat pemberi rezeki.

Jackson dibesar dalam lingkungan agama Kristian dikatakan mengambil keputusan menganut Islam semasa beliau menggunakan studio di rumah kawannya ketika merakamkan album baru.

Rakannya David Wharnsby seorang penulis lagu dan produser Philips Bubal menasihatkan beliau supaya memeluk agama Islam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, tindakan Jackson itu membuktikan beliau tidak berpuas hati dengan agama yang dianutinya sebelum ini.

"Walau pun Jackson merupakan seorang penyanyi tersohor dunia, sudah tentu dia banyak membaca untuk mendapat maklumat berhubung kebenaran Islam.

"Memanglah dia tu penyanyi, semua orang kenal dia, tetapi tidak bererti dia tu menyanyi sahaja," katanya.

Beliau juga berharap penyanyi terbabit dapat mempromosikan Islam melalui tindak tanduk yang baik dan lirik-lirik lagu yang dapat memberi keinsafan kepada manusia serta mengakui kebesaran Allah.

Menurutnya, hanya agama Islam yang benar kerana diperakui oleh Allah Taala.

Kata beliau juga mereka yang sudah lama beragama Islam jarang mengambil peluang untuk mempromosikan agama itu kepada umum bagi menarik lebih ramai orang bukan Islam mendekati agama tersebut.

"Walau pun Islam tidak memaksa sesiapa memeluk agama suci itu, namun setiap dari mereka wajib berdakwah serta mempromosikannya kepada penganut agama lain.

"Kelantan sendiri tanpa disedari telah mempromosikan agama Islam dalam pentadbirannya seperti mengharamkan riba, menutup aurat, cuti dua hari dan pemberian manfaat kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas," katanya.

Beliau juga berkata, masyarakat bukan Islam termasuk Hindu pernah menjemputnya menyampaikan ucapan pada majlis anjuran mereka. - mj/mks. _


Berita ini dipetik dari:
http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18035&Itemid=1

Fatwa: Ambil tindakan

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mendesak kerajaan menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan Kanun Keseksaan bagi bertindak ke atas pihak yang mempertikaikan institusi fatwa.

Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tindakan itu penting bagi memelihara kesucian Islam berikutan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media secara terbuka mengeluarkan kenyataan dan laporan yang mencabar institusi berkenaan.

Oleh itu katanya, kerajaan perlu bertindak menggunakan undang-undang tersebut yang membenarkan tindakan diambil ke atas mereka yang beragama Islam mahupun bukan beragama Islam.

‘‘Undang-undang telah ada dan bagi PGSM, kerajaan perlu bertindak segera bagi menangani keresahan umat Islam setelah melihat institusi fatwa dicabar lebih-lebih lagi oleh umat Islam sendiri.

‘‘Selama ini undang-undang telah ada tetapi jarang kita dengar ada pendakwaan diambil tetapi kali ini saya harap demi kesucian agama, ia tidak lagi dibiarkan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Majlis Fatwa Kebangsaan semalam, memutuskan amalan yoga secara sistematik iaitu yang membabitkan gerakan fizikal, bacaan mantera dan matlamat penyatuan diri dengan Tuhan, bertentangan dengan syariat Islam.

Amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga tanpa unsur-unsur mantera dan pemujaan pada zahirnya tidak menjadi kesalahan namun tetap tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menghakis akidah seseorang Muslim.

Susulan daripada itu, beberapa laporan akhbar antaranya memetik pandangan NGO dilihat seakan mencabar Majlis Fatwa Kebangsaan apabila meminta badan itu supaya memberi fokus kepada isu lain yang lebih serius dan bukannya yoga yang hanya satu jenis senaman.

Bagi NGO tersebut, amalan yoga yang disifatkan mereka sebagai senaman menyihatkan tidak pernah menyebabkan pengamalnya menukar agama daripada Islam kepada Hindu atau mengancam kedudukan Islam.

Sebelum ini, dua NGO turut dilaporkan mempertikaikan secara terbuka fatwa pengharaman pengkid.

Sementara itu, Zainul Rijal berkata, di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, sesiapa yang ingkar kepada fatwa yang diwartakan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda RM5,000.

Kata beliau, mengikut seksyen 298A Kanun Keseksaan pula iaitu kesalahan menghina agama, hukuman yang diperuntukkan ialah penjara tidak kurang dua tahun serta denda dan ini terpakai untuk bukan Islam.

‘‘Mencabar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan adalah sama seperti menghina agama Islam kerana institusi fatwa mempunyai peranannya yang tersendiri dan diiktiraf syarak serta Perlembagaan Persekutuan.

‘‘Setiap fatwa adalah untuk menyelamatkan orang Islam daripada tergelincir akidah atau amalan jadi jangan pula ada yang mencabar dan mengingkari termasuk bersubahat seperti menganjurkan kelas yoga,’’ jelasnya.

Menurut Zainul Rijal, sehubungan itu PGSM berharap semua kerajaan negeri segera mewartakan fatwa itu bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil.

‘‘Selagi tidak diwartakan, tindakan undang-undang tidak boleh diambil. Jadi PGSM mendesak pewartaan fatwa ini disegerakan bagi memelihara kedudukan agama Islam.

‘‘Lagipun saya tidak nampak mengapa proses mewartakan fatwa ini perlu dilengah-lengahkan kerana ia tidak melibatkan prosedur panjang. Jadi soalnya antara mahu dengan tidak sahaja,’’ tegasnya.

Dalam pada itu, Zainul Rijal berkata, pihak yang masih tidak berpuas hati boleh mengemukakan pandangan secara terus kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dengan meminta ia disemak semula tetapi mestilah berasaskan hujah pakar.

Katanya, dengan itu barulah ia tidak menimbulkan keresahan umat Islam berbanding dengan mengemukakan pandangan secara terbuka seperti dilakukan sekarang.

Menurutnya, Majlis Fatwa masih boleh menyemak semula fatwa-fatwa yang dikeluarkan dan memang pun ada fatwa yang telah disemak semula sebelum ini.

Sunday, November 23, 2008

Majlis Fatwa haram yoga

PUTRAJAYA: Majlis Fatwa Kebangsaan semalam, mengharamkan umat Islam mengamalkan senaman yoga yang dilakukan secara sistematik dan menyeluruh kerana bertentangan dengan syariat Islam serta boleh memesongkan akidah mereka.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata senaman yoga berasal daripada masyarakat Hindu menggabungkan tiga unsur, iaitu amalan fizikal (senaman), keagamaan serta mantera pemujaan bagi mendapatkan ketenangan, manakala kemuncaknya penyatuan diri dengan tuhan, yang boleh merosakkan akidah umat Islam.

Oleh itu, katanya, ahli majlis itu memutuskan apa juga jenis dan bentuk amalan yang mengandungi unsur sedemikian dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam.

"Bagaimanapun, pergerakan amalan fizikal yoga tanpa unsur berkenaan yang dilakukan pada zahirnya (secara luaran) tidak menjadi kesalahan, tetapi tidak digalakkan kerana ia adalah salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.

"Oleh itu, masyarakat Islam wajib berhati-hati dan berwaspada daripada melakukan perkara yang boleh menghakis dan memesongkan akidah menerusi kepercayaan atau keyakinan hati, menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah dan perbuatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di sini semalam. Hadir sama Ketua Pengarah Jakim yang juga Setiausaha Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Abdul Shukor berkata, senaman yoga yang diperkenalkan sejak 3,000 tahun sebelum Masihi tidak sesuai bagi umat Islam kerana ada dua perkara didalamnya yang boleh menghakis akidah umat Islam iaitu kepercayaan untuk bersatu dengan tuhan dan mantera pemujaan.

"Kita harap umat Islam lebih berhati-hati dan kalau boleh segera menghentikan kerana dikhuatiri kalau tidak tahu matlamatnya (bersatu dengan tuhan) boleh menyebabkan kita menjadi sesat.

"Ini kerana ada umat Islam yang mengamalkan senaman yoga tetapi tidak tahu matlamatnya. Sebenarnya ilmu yoga mengandungi tiga peringkat iaitu ajaran untuk mendatangkan kesihatan, keduanya membersihkan jiwa dan kekuatan fizikal dan peringkat ketiga bersatu dengan tuhan," katanya.

Baru-baru ini seorang pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zakaria Stapa menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah.

Amalan yoga didakwa dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung. Senaman harian itu kebanyakannya mempunyai pergerakan berdasarkan unsur dalam agama Hindu, manifestasi gerakan, konsentrasi dan posisi tubuh dilakukan sambil membaca mentera.

Mengulas lanjut, Abdul Shukor berkata, Singapura dan Mesir turut mengeluarkan fatwa melarang umat Islam di negara itu mengamalkan senaman yoga kerana memutuskan perkara itu mengandungi bidaah dan sesat kerana mengandungi unsur agama Hindu.

Katanya, keputusan melarang umat Islam melakukan senaman yoga dibuat dalam persidangan Majlis Fatwa Kebangsaan di Kota Bahru, Kelantan pada 22 hingga 24 Oktober dan ia akan dipanjangkan kepada semua majlis agama Islam negeri untuk diwartakan.


Berita ini dipetik daripada:
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/BeritaUtama/20081122231505/Article
.

Pakat doa hujan lebat tidak turun di Kelantan - MB


KOTA BHARU, 23 Nov (Hrkh) - Biar pun air bah belum melanda Kelantan, namun Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat meninjaukan keadaan Sungai Kelantan berikutan hujan lebat Rabu dan Khamis lalu.

Semalam beliau meninjau keadaan Sungai Kelantan di perkarangan Hotel Rider dekat sini bagi melihat sendiri paras air selepas hujan lebat dua berturut-turut.

Kehadirannya mengejutkan orang ramai yang berada di situ.

"Alhamdulillah apa yang kita dapati nampaknya masih belum ada tanda-tanda berlaku banjir, bahkan air sungai pun nampaknya semakin surut, lagi pun hujan lebat belum berlaku lagi di hulu Kelantan.

"Kita juga berharap banjir tahun ini tidak berlaku banjir dan sekiranya ada tanda-tanda hujan akan turun lebat sama-samalah kita berdoa agar hujan tidak turun di tempat kita," ujarnya ketika ditemui media ketika tinjauan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menasihati ibu bapa serta penjaga menjaga anak-anak bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Katanya, kanak-kanak yang tidak biasa dengan air akan berasa seronok dengan kedatangan banjir setahun sekali.

"Jadi saya nak cadangkan ibu bapa dan guru supaya mengingatkan mereka terhadap bahaya bermain dengan air bagi mengurangkan mangsa lemas di musim banjir.

"Dahulu anak-anak muda termasuk gadis berpakaian cantik untuk keluar bermain air banjir, macam tu lah tiap-tiap tahun hingga sekarang, banjir masih dianggap satu pesta buat mereka," ujarnya, - mj _

Berita ini dipetik dari:
http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=018039&Itemid=96
.

Mahasiswa perlu pulau kenaikan harga barang

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Hrkh) - Mahasiswa seluruhnya diseru memulaukan para peniaga yang masih menjual barangan dan perkhidmatan pada harga tinggi walaupun harga petrol telah menunjukkan penurunan.

"Masih ramai peniaga yang tidak turunkan harga barangan dan perkhidmatan mereka. Tindakan itu bukan saja membebankan pengguna berpendapatan rendah dan sederhana malah ia akan berterusan meningkatkan Indeks Harga Pengguna (IHP) sekali gus menjana pertumbuhan kadar inflasi yang lebih mengerikan," kata Presiden Econs Mohd Hasbie Muda dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan harga minyak petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.

"Oleh itu, saya menggesa seluruh mahasiswa seramai 748,797 orang agar dapat turut sama memulaukan para peniaga yang mengenakan harga yang tinggi berbanding harga pasaran.

"Saya yakin jika jumlah siswa seramai 0.7 juta ini memainkan peranan memulau peniaga tamak, 'menghasut secara ilmiah' anggota masyarakat lain agar turut memulaukan, maka para peniaga yang tamak ini akan segera menurunkan harga barangan mereka agar selari dengan pasaran," tambah beliau.

Harga minyak telah turun menghampiri paras asalnya sebelum Jun 2008 iaitu RM1.92 seliter.

Ini merupakan penurunan kali kelima harga bahan api itu selepas mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.

"Kedegilan dan ketamakan segelitir peniaga, samada peruncit, pemborong atau pengilang, yang mahu untung besar segera adalah sebab utama percambahan 'parasit inflasi' yang berbahaya ini," kata beliau.

Dalam kejadian lain, beberapa buah NGO seperti Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bercadang menganjurkan satu perhimpunan bertujuan memberi kesedaran untuk memulaukan para peniaga yang masih enggan menurunkan harga barang walaupun harga minyak telah diturunkan beberapa kali.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata perhimpunan itu akan diadakan di ibu negara pada Disember ini dengan kerjasama Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) dan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

"Jika usaha ini berjaya, kadar inflasi negara yang kini 8.2 peratus akan surut melebihi ramalan 7.6 peratus seperti yang diunjurkan oleh Gabenor Bank Negara tempohari.

"Semoga, tindakan ini akan mendidik dan menyedarkan pengguna tentang hak dan peranan mereka. Ia bukan bertujuan untuk menjejaskan ekonomi negara malahan bertindak selaras dengan seruan kerajaan yang mahu peniaga menurunkan harga barang," kata beliau. - mks._


Berita ini dipetik dari:
http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18034&Itemid=1

.

Tuesday, November 11, 2008

Berjuanglah kerana Allah, bukan kerana dunia..

Ruba’i bin Amir radiyallahu anh, seorang pahlawan Islam telah di hantar oleh Sa’ad bin Abi Waqqas radiyallahu anh untuk mengadap panglima Parsi yang bernama Rustam sebelum meletusnya perang Qadisiyyah.


Ketika Ruba’i radiyallahu anh memasuki perkhemahan Rustam, panglima-panglima Rustam semuanya memakai pakaian kebesaran dan majlisnya di hiasi dengan permaidani yang serba indah. Rustam sendiri duduk di atas singgahsana yang indah bertakhtakan emas dan batu permata yang serba mahal. Rubai’i radiyallahu anh sendiri hanya berpakaian sederhana.


Sambil menunggang kuda yang kecil berserta perisai peperangannya, dia memasuki majlis Rustam tanpa menghiraukan sedikit pun keadaan di sekelilingnya. Rubai’i radiyallahu anh terus masuk ke majlis Rustam bersama kudanya dan membiarkan kaki kudanya mengotori hamparan permaidani yang indah itu. Di kala Ruba’i radiyallahu anh turun dari kudanya, dia hanya menambat tali kuda itu pada salah satu bantal yang berdekatan lalu terus mengadap Rustam dengan senjata peperangan di badannya.


Tatkala diminta untuk melucutkan senjatanya, dia berkata, “Sebenarnya aku kesini atas undangan kalian, jika kalian mahu biarkan aku dalam keadaan seperti ini, jika tidak, aku akan pulang”. Panglima Rustam menjawab, “Biarlah dia datang mengadap”. Rubai’i radiyallahu anh lalu mara ke hadapan untuk mengadap dengan tombaknya di jadikan tongkat ketika dia berjalan. Tombak itu telah menusuk hamparan permaidani dan merosakkanya setiap kali Rubai’i radiyallahu anh berjalan.


Rubai’i radiyallahu anh kemudiannya telah ditanya, “Apakah yang telah mendorong engkau datang ke daerah kami?”.


Jawab Rubai’i radiyallahu anh, “Allah S.W.T mengutuskan kami untuk membebaskan manusia dari memperhambakan diri kepada selain Allah Taala, dan melepaskan manusia daripada belenggu duniawi menuju keluasan akhirat, dan daripada agama yang sesat kepada keadilan Islam”.


(Imam Ibn Kathir rahimahullah dalam al-Bidayah wa al-Nihayah)



*Dipetik dari buku Koleksi Kisah Ceria Pengasuh Akhlak Mulia.

.

Pimpinan adalah amanah..

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,


Setiap pemimpin yang menguasai urusan kaum muslimin, kemudian tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh serta tidak bertindak baik terhadap mereka, pasti dia tidak masuk bersama mereka ke dalam Syurga.

(Hadis riwayat Imam Muslim rahimahullah daripada Ma’qil bin Yasar al-Muzanni radiyallahu ‘anh, Sahih Muslim Jil. 1, Kitab al-iman, bab [64], hadis no. 264)


Kepimpinan dalam Islam meliputi skop yang cukup luas. Ibn ‘Umar radiyallahu ‘anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:


Ingatlah, setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban atas pimpinannya. Amir yang memimpini manusia adalah pemimpin dan diminta pertanggungjawaban atas kepimpinannya. Suami adalah pemimpin atas keluarganya dan dia diminta pertanggungjawaban mengenai mereka. Isteri adalah pemimpin dalam rumah suaminya dan dia diminta pertanggungjawaban mengenai rumah suaminya. Seorang hamba sahaya adalah pemimpin atas harta tuannya dan dia diminta pertanggungjawaban mengenai harta tuannya. Ingatlah, setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu diminta pertanggungjawaban atas kepimpinanmu.

(Hadis riwayat Imam al-Tirmizi rahimahullah daripada Ibn ‘Umar radiyallhu ‘anhuma, Sunan al-Tirmizi Jil. III, hadis no. 1757)

.