Tuesday, November 11, 2008

Berjuanglah kerana Allah, bukan kerana dunia..

Ruba’i bin Amir radiyallahu anh, seorang pahlawan Islam telah di hantar oleh Sa’ad bin Abi Waqqas radiyallahu anh untuk mengadap panglima Parsi yang bernama Rustam sebelum meletusnya perang Qadisiyyah.


Ketika Ruba’i radiyallahu anh memasuki perkhemahan Rustam, panglima-panglima Rustam semuanya memakai pakaian kebesaran dan majlisnya di hiasi dengan permaidani yang serba indah. Rustam sendiri duduk di atas singgahsana yang indah bertakhtakan emas dan batu permata yang serba mahal. Rubai’i radiyallahu anh sendiri hanya berpakaian sederhana.


Sambil menunggang kuda yang kecil berserta perisai peperangannya, dia memasuki majlis Rustam tanpa menghiraukan sedikit pun keadaan di sekelilingnya. Rubai’i radiyallahu anh terus masuk ke majlis Rustam bersama kudanya dan membiarkan kaki kudanya mengotori hamparan permaidani yang indah itu. Di kala Ruba’i radiyallahu anh turun dari kudanya, dia hanya menambat tali kuda itu pada salah satu bantal yang berdekatan lalu terus mengadap Rustam dengan senjata peperangan di badannya.


Tatkala diminta untuk melucutkan senjatanya, dia berkata, “Sebenarnya aku kesini atas undangan kalian, jika kalian mahu biarkan aku dalam keadaan seperti ini, jika tidak, aku akan pulang”. Panglima Rustam menjawab, “Biarlah dia datang mengadap”. Rubai’i radiyallahu anh lalu mara ke hadapan untuk mengadap dengan tombaknya di jadikan tongkat ketika dia berjalan. Tombak itu telah menusuk hamparan permaidani dan merosakkanya setiap kali Rubai’i radiyallahu anh berjalan.


Rubai’i radiyallahu anh kemudiannya telah ditanya, “Apakah yang telah mendorong engkau datang ke daerah kami?”.


Jawab Rubai’i radiyallahu anh, “Allah S.W.T mengutuskan kami untuk membebaskan manusia dari memperhambakan diri kepada selain Allah Taala, dan melepaskan manusia daripada belenggu duniawi menuju keluasan akhirat, dan daripada agama yang sesat kepada keadilan Islam”.


(Imam Ibn Kathir rahimahullah dalam al-Bidayah wa al-Nihayah)



*Dipetik dari buku Koleksi Kisah Ceria Pengasuh Akhlak Mulia.

.