Thursday, March 04, 2010

Perkongsian - Usrah Sepanggar 1 Mac


Terdetik dalam hati untuk saya menulis berkenaan pengisian usrah pemuda sepanggar yang saya hadiri beberapa hari yang lalu. Ini merupakan usrah pemuda yang kali pertama saya hadiri walaupun sudah banyak kali dijemput. Kekangan masa dan gerakkerja yang lain membataskan kehadiran saya untuk mengikuti usrah pemuda tersebut.

Usrah tersebut sepatutnya bermula pada pukul 8.45 pm, namun saya terpaksa datang agak lewat. Bersama-sama saya menghadiri usrah tersebut adalah saudara Fadhil Nur al-Hafiz. Kami sampai agak lewat, dalam pukul 9.40 pm. Ini kerana sebelum tu saya terpaksa menyelesaikan beberapa urusan peribadi yang lain.

Walaupun kami sampai agak lewat, namun kami masih lagi sempat mengikuti perbahasan utama pada malam tersebut. Usrah kali ini membincangkan berkenaan Tafsir Ibnu Kathir surah al-Muzzammil. Naqib yang bertanggungjawab pada malam tersebut adalah Ustaz Murtadha. Semasa kami sampai, Ustaz Norzam tengah mengupas berkenaan ibadat Qiamullail. Semua orang pasti tahu yang surah al-Muzzammil ini membincangkan khusus berkenaan dengan Qiamullail.

Ibadah Qiamullail merupakan satu ibadah wajib kepada Nabi Muhammad SAW. Namun, ibadah ini hanya ibadah sunat kepada ummat baginda. Ibadah Qiamullail ini amat-amat penting untuk membina jiwa yang teguh dan aqidah yang mantap. Banyak kelebihan qiamullail telah dibincangkan pada usrah tersebut diantaranya adalah ibadah qiamullail ini dapat menjadi benteng kepada seorang mukmin. Pada awal dakwah Nabi, tentangan terhadap dakwah untuk menegakkan Islam amat dahsyat. Dan qiamullail-lah menjadi pengubat dan penguat jati diri Nabi dan para sahabat di dalam berdakwah.

Diantara perkara lain yang dibincangkan adalah berkenaan fadilat solat sunat Dhuha. Ustaz Norzam memberi cadangan sekiranya ibadah qiamullail tidak dapat dilakukan setiap malam pun, ahli usrah di galakkan untuk istiqamah melakukan solat sunat Dhuha setiap hari. Mungkin ada sesetengah orang yang agak susah untuk bangun malam untuk solat Tahajjud, namun solat Dhuha boleh dilakukan pada waktu pagi. Tidak ada alasan untuk mengatakan susah untuk bangun dari tidur.

Selain itu, dibincangkan juga bagaimana kita ingin menitiskan air mata ketika bermunajat kepada Allah. Mengikut Ustaz Murtadha/Ustaz Norzam, Umar al-Khattab pernah berkata bahawa kita ini memang susah untuk mengeluarkan air mata, tapi kita kena ‘berlakon’ jugak menitiskan air mata. Kita kena berusaha juga untuk mengeluarkan air mata. Kenangkan dahulu benda-benda yang boleh membuatkan kita sedih dan menitiskan air mata. Selepas air mata telah menitis, cepat-cepat kita mengenangkan dosa-dosa kita yang lalu. InsyaAllah, apabila sudah biasa, ego air mata itu akan hilang apabila mengadap Tuhan Yang Maha Esa.

Banyak lagi sebenarnya isi perbincangan yang dibahaskan pada malam tersebut. Namun penulis sekadar berkongsi intipati utama usrah tersebut. Semoga nukilan ini menjadi peringatan kepada yang menulis dan yang membaca. InsyaAllah.

No comments: