Tuesday, March 23, 2010

Menanti kebebasan bersuara 'Parlimen Mahasiswa'


Artikel ini dipetik dari:
http://www.harakahdaily.net/v2/


Parlimen mahasiswa yang dicetuskan oleh Mohammad Syafiq Abdul Aziz, mantan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (YDP MPP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah dipersetujui penubuhannya oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi.

Warga kampus USM sememangnya sangat berlapang dada serta berfikiran terbuka dengan Parlimen Mahasiswa ini walaupun ramai lagi mahasiswa yang tidak tahu dan sedar mengenai penubuhannya. Dalam hal ini, Pro Mahasiswa sangat berbesar hati dan ternanti-nanti kehadiran Parlimen Mahasiswa itu sendiri.

Beberapa minggu yang lalu, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPP) dan MPP mengadakan bengkel penggubalan Parlimen Mahasiswa. Hal ini untuk memastikan kelangsungan kaedah, peraturan dan undang-undang parlimen tersebut.

Berdasarkan temubual Pro-M dengan seorang peserta bengkel tersebut, Muslihah binti Mazlan, beliau mengakui terdapat kekeliruan dan kekaburan dengan pelaksanaan parlimen tersebut. Hal ini sudah terang lagi bersuluh kerana persidangan Parlimen Mahasiswa adalah dibatasi oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan juga bakal terikat dengan sebuah lagi akta yang dalam proses penggubalannya.

Perkara ini sekaligus mengundang perselisihan faham kerana melalui takrifan parlimen itu sendiri merujuk kepada sebuah majlis yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang. Jadi mengapakah mahasiswa dalam konteks pelaksanaan parlimen perlu dibatasi oleh AUKU?

Bukankah ia dikatakan bakal menjadi platform untuk mahasiswa melontarkan idea dan pandangan tentang masalah yang berlaku di kampus dan dalam Malaysia (kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi)?

Memang terdapat pihak-pihak yang menyatakan mahasiswa tidak salah bercakap tentang hal politik negara dalam persidangan, namun ia adalah secara akademik. Jelasnya, sebarang kritikan akan menimbulkan isu bahawa mahasiswa membangkang itu dan ini. Justeru, pelbagai persoalan yang bermain dalam benak fikiran mahasiswa.

Sekiranya Parlimen Mahasiswa tersekat dan disekat oleh AUKU , maka di manakah hak kebebasan bersuara mahasiswa? Kebebasan bersuara yang dimaksudkan di sini adalah tiada sebarang sekatan oleh mana-mana pihak berkepentingan dalam mahasiswa untuk melontarkan idea dan kritikan membina secara akademik dan intelek.

Jikalau demikian, bagaimanakah suara mahasiswa ini akan menyumbang kepada pembangunan negara? Mahasiswa perlu bertindak sebagai ‘check and balance’ kepada seluruh persekitarannya. Sekali lagi dijelaskan di sini, pendirian Pro-M sangat meraikan persidangan Parlimen Mahasiswa ini dan tidak sama sekali berniat untuk menghentikan penubuhannya.

Selain itu, ketika segala undang-undang berkaitan Parlimen Mahasiswa ini ‘diharmonikan’ oleh pihak-pihak tertentu, tidak ada seorang mahasiswa pun didedahkan tentangnya. Adakah ia bercanggah daripada resolusi bengkel penggubalan undang-undang yang terdahulu diadakan?

Tiada siapa yang tahu dan sudah pastinya apabila ia diwartakan, amat sukar untuk undang-undang tersebut dipinda kerana akan mengambil masa yang lama. Sebagai contoh, pemindaan AUKU seksyen 15 yang mengambil masa yang panjang dan apa yang dipinda itu ‘masih belum sempurna’. Justeru, inilah yang menjadi sebahagian perkara yang amat dikesali oleh peserta bengkel tersebut.

Kerana kami merasakan sukar untuk mendapat pengiktirafan universiti agar suara mahasiswa didengari pihak atasan, oleh itu Pro-M sangat menginginkan kelancaran dalam penggubalan perlembagaan Parlimen Mahasiswa ini.

Pihak Pro-M tidak pernah melakukan kezaliman kerana menghukum sesuatu terhadap perkara yang belum dipastikan. Malah, merahsiakan perwartaan undang-undang daripada pihak mahasiswa merupakan suatu tindakan yang ‘tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya’.

Maka dengan itu, pihak Pro Mahasiswa bangkit untuk menuntut dua tuntutan berhubung Parlimen Mahasiswa, iaitu:

1. Undang-undang termasuk tatacara, kaedah dan sebagainya dibentangkan kepada seluruh mahasiswa kampus USM sebagai penjelasan kepada mahasiswa walaupun ia telah ‘diharmonikan’.
2. Sebarang kritikan, penambah baikan, cadangan dan saranan boleh dilakukan terhadap undang-undang ini oleh seluruh mahasiswa kampus USM sebelum perkara ini diwartakan.

Sekali lagi diingatkan, tuntutan ini perlu dilaksanakan sebelum perlembagaan Parlimen Mahasiswa diwartakan. Justeru, tuntutan Pro-M ini adalah untuk memastikan seluruh warga kampus USM sentiasa peka dengan keadaan dan isu yang berlaku dalam kampus.

Seterusnya, ia berfungsi untuk mencambahkan fikiran mahasiswa agar tidak terlalu tertutup dan dibelenggu oleh mana-mana pihak. Bebaskan fikiran mahasiswa.

Konklusinya, kami melihat penubuhan Parlimen Mahasiswa ini sebagai titik mula mahasiswa untuk bebas bersuara dan bukan hanya retorik politik semata-mata.

Monday, March 22, 2010

Jom Heboh di Kelantan ada kelainan


Artikel ini dipetik dari:
http://www.harakahdaily.net/v2


KOTA BHARU, 19 Mac: Apabila disebut program Jom Heboh tentunya kita terbayang aksi artis lelaki dan perempuan terlonjat-lonjat di atas pentas.

Namun, lain pula dengan Jom Heboh yang akan diadakan di sini pada 26 dan 27 Mac ini, tiada artis wanita ditampilkan pada konsert yang akan diadakan.

Sebaliknya konsert itu pada malam 27 Mac hanya menampilkan artis lelaki termasuk Jay Jay, Jamal Abdillah, Kumpulan Raihan dan Megat Nordin.

Selain itu, difahamkan tiada siaran langsung dibuat bagi konsert berkenaan seperti dilakukan TV3 di negeri-negeri lain sebelum ini.

Kelainan juga dapat disaksikan apabila tempat duduk di antara lelaki dan wanita diasingkan pada persembahan konsert terbabit.

Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata, pihak penganjur telah memberi jaminan akan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Mereka bersetuju untuk mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan 1998 yang dikuatkuasa di negeri ini.

“Datuk Takiyuddin Hassan sebagai anggota Exco yang bertanggungjawab memberi penekanan mengenai perkara itu pada mesyuarat yang diadakan sebelum ini,” katanya.

Karnival Jom Heboh TV3 sebelum ini lebih dikenali sebagai Sure Heboh diadakan di seluruh negara kecuali Kelantan.

Bagaimanapun, TV9 pernah menganjurkan program Sua Rasa dan Perkampungan Hadhari di Kota Bharu sebelum ini tanpa melibatkan percanggahan dengan dasar kerajaan negeri.

Program Jom Heboh akan diadakan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV dengan menampilkan pelbagai pameran dan aktiviti jabatan-jabatan kerajaan negeri dan agensinya.

Nasruddin juga berkata, sebuah khemah besar yang dinamakan sebgai Kota Ilmu disediakan pihak penganjur untuk dijadikan tempat solat dan pameran program Jejak Rasul.

“Dijangka Pemangku Raja akan hadir pada program al Kuliyyah yang akan disiarkan secara langsung pada petang 26 Mac yang bakal diadakan di khemah tersebut.

“Selain itu Menteri Besar dan anggota-anggota Exco dijemput untuk mengisi program Talk Show,” katanya.

Program dua itu bermula dari jam 9 pagi hingga 12 malam.

Beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang akan terbabit dalam pameran dan aktiviti interaktif iaitu Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Urusetia Pembangunan Ihsan, Belia, Sukan dan NGO, Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan.

Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dan Pusat Penerangan Pelancongan.

Sofi Wahab: Tukar kerajaan cegah anak luar nikah


Artikel ini dipetik dari:
http://www.harakahdaily.net/v2/

Gejala buang bayi memang sudah lama berlaku. Sudah ratusan malah mungkin ribuan bayi yang tidak berdosa dibuang di merata tempat oleh manusia berhati iblis. Darjat manusia ini lebih teruk dari binatang kerana binatang pun tahu sayang kepada anaknya.

Hari ini (22 Mac) media sekali lagi melaporkan kejadian buang bayi yang berlaku dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu. Bayi ini masih hidup walaupun basah kuyup ditimpa hujan.

Semalam (21 Mac), media juga melaporkan bahawa terdapat 17,303 orang anak luar nikah didaftarkan pada tahun 2009.

Apa maknanya kedua-dua fakta di atas? Maknanya ialah gejala maksiat zina sudah menjadi perkara biasa di Malaysia. Kalau dikira purata anak luar nikah yang dilahirkan di Malaysia ialah 47 orang sehari, kira-kira dua orang setiap jam.

Saya lebih suka membicarakan punca kepada perkara sebelum kita berfikir tentang cara penyelesaiannya. Mengikut kaedah problem solving, sebelum kita membuat correctieve action atau langkah pembetulan kita mesti mencari punca-punca masalah ini.

Di bawah ini adalah punca-punca kepada gejala zina, buang bayi dan anak luar nikah:-

1) Tiadanya kesedaran agama di kalangan penzina kerana mereka sudah tidak takut kepada Allah sehingga sanggup melakukan dosa besar iaitu perzinaan. Mereka ini mungkin tidak mempunyai asas agama yang kuat.

2) Pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita disebabkan ibu bapa tidak melarang mereka, keluar rumah dan bergaul bebas, kawan-kawan dan masyarakat tidak memberi nasihat dan membiarkan maksiat terus berlaku.

3) Persekitaran yang sudah rosak dengan program-program maksiat/pergaulan bebas seperti konsert, kelab malam, dangdut, disko dan sebagainya. Selain itu gejala berdua-duaan ke sana ke mari sudah menjadi tidak salah di sisi masyarakat dan ibu bapa serta undang-undang.

4) Gejala meminum arak dan dadah di kalangan muda-mudi juga sudah menjadi perkara biasa dan bila kepala sudah khayal maka mudah maksiat berlaku.

5) Tiadanya undang-undang yang mampu mencegah perbuatan mungkar yang berlaku sekarang. Undang-undang yang ada sekarang adalah ciptaan manusia yang tidak mampu menggerunkan manusia. Sedangkan Allah sudahpun menurunkan undang-undang-Nya untuk mencegah perbuatan zina dan maksiat ini. Malangnya kerajaan yang ada sekarang terus berdegil tidak mahu melaksanakan hukum Allah ini.

6) Sistem pendidikan yang ada di negara kita sekarang gagal melahirkan pelajar yang beriman dan berakhlak kerana apa yang diutamakan ialah pencapaian akademik semata-mata sehingga mengabaikan kesedaran Islam dan kekuatan Iman di kalangan pelajar-pelajar. Sebab itulah generasi muda hari ini amat rapuh pegangan agamanya sehingga sanggup berzina dan bergaul bebas tanpa rasa berdosa.

7) Program mencegah kemungkaran dibuat sambil lewa sehingga membiarkan tempat-tempat hiburan, rumah pelacuran dan lain-lain dibiarkan beroperasi macam cendawan lepas hujan.

8) Banyak lagi punca-punca lain yang ada tetapi bagi saya fakta di atas adalah antara perkara asas yang menjadi penyebab kepada gejala ini.

Pagi tadi semasa saya mendengar siaran radio Ikim.FM saya mendapati 100% pendengar mahukan undang-undang Islam ditegakkan di Malaysia dan kata mereka itulah sahaja jalan penyelesaian yang mampu menyelesaikan masalah tersebut. Ini kerana menurut mereka hanya undang-undang Allah yang ada keberkatan dan pencegahan dari Allah sedangkan akal manusia tidak mampu untuk berfikir bagi menyelesaikan masalah ini. Ada juga pendengar yang secara tegas menyatakan supaya ditukar kerajaan.

Di bawah ini saya cadangkan beberapa jalan penyelesaian kepada perkara ini.

1) Tukar kerajaan yang ada hari ini kerana dengan menukar kerajaan kepada kerajaan PR, insya Allah undang-undang Islam akan ditegakkan; sistem pendidikan akan diubah dengan menekankan ilmu Islam; program amar makruf dan nahi mungkar akan ditingkatkan; tempat-tempat maksiat ditutup, program-program maksiat dan pergaulan bebas dihentikan dan sebagainya.

2) Ibubapa mestilah menghadkan pergaulan anak-anak dengan tidak membenarkan mereka keluar malam dan tidak membenarkan anak-anak gadis keluar secara bersendirian bila-bila.

3) Dan lain-lain.

BAGI SAYA, SELAGI KERAJAAN BN MEMERINTAH SELAGI ITULAH MEREKA TIDAK AKAN MENEGAKKAN UNDANG-UNDANG ISLAM DAN MEREKA HANYA MEMANDANG ISU INI SEBAGAI REMEH. DARI ITU, RAKYAT MESTI MENUKARKAN KERAJAAN YANG ADA PADA HARI INI IAITU KERAJAAN BN KEPADA KERAJAAN PR.

Sofi Wahab adalah Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka.

Sunday, March 21, 2010

Agen Israel dalam sistem komunikasi PDRM



Artikel ini dipetik dari:
http://chegubard.blogspot.com


Keseluruhan tender pembinaan sistem komunikasi yang akan ditukar dari analog kepada digital telah pun diserahkan secara rasmi kepada Asiasoft (M) Sdn. Bhd. (no. Syarikat : 150529-H).

Syarikat ini adalah milik penuh kepada syarikat tunggalnya iaitu Asiasoft Pte. Ltd. Yang berpengkalan di Singapura. Nilai penuh tender yang diberikan kerajaan Malaysia ialah RM1 billion tetapi dikecilkan menjadi RM42 juta.

Apa yang mencurigakan ramai penyelidik ialah ‘individu’ yang bertanggungjawab membina sistem itu. Individu tersebut dikenalpasti sebagai bekas tentera Israel yang berkhidmat sebagai programmer semasa di Israel.

Programmer yang bernama Izhak David Naskar yang memegang pasport Israel bernombor 10902695 itu masih lagi warganegara Israel. Jadi, bolehkah kita menganggap ini suatu kebetulan?

Paling membimbangkan ialah Izhak bukanlah tentera atau programmer biasa, beliau adalah ‘pakar’ sistem komputer yang telah memenangi anugerah daripada Kementerian Pertahanan Israel. Malah beliau juga bertanggungjawab membina sistem risikan berteknologi tinggi untuk pasukan pertahanan Israel sekitar 1970 hingga 1987.

Seorang lagi rakan Izhak yang bertanggungjawab membina sistem komunikasi PDRM ialah Ido Sccheschter yang memegang pasport Israel bernombor 56626252. Ido pula lebih mencurigakan kerana selaku ahli pasukan yang bertanggungjawab membina sistem komunikasi untuk PDRM bersama-sama Izhak, hingga saat ini beliau masih lagi seorang tentera Israel yang sah bukannya tentera pencen.

Apakah yang menyebabkan PDRM mengambil orang-orang Israel ini? Adakah kerana terdesak atau didesak?

Bukankah lebih baik jika melantik programmer-programmer dari kementerian pertahanan Iran yang sememangnya lebih pakar dari Israel.

Friday, March 19, 2010

Ceramah Royalti Minyak @ Sabah



AKU ANAK KELANTAN.. KAMI MENUNTUT ROYALTI.. BUKAN WANG EHSAN!!

Tuesday, March 09, 2010

Menerjah Realiti Gerakan Mahasiswa UMS

Walaupun bahang pilihanraya kampus UMS sudah semakin tidak terasa, namun bahang kebangkitan gerakan mahasiswa UMS tidak boleh di abaikan sama sekali. Marilah kita menilai realiti sebenar gerakan mahasiswa UMS berdasarkan gambar-gambar yang sempat di ambil sepanjang sesi rapat umum PRK yang lepas.

Jentera OREN dan MERAH. Siapakah mereka? Pro-Mahasiswa? Pro-Aspirasi? Penulis menyerahkan kepada pembaca untuk menilainya.

Link artikel sahabat:
Oren vs Merah (Pencerahan & Perkongsian)

Oren VS Merah










































Thursday, March 04, 2010

Perkongsian - Usrah Sepanggar 1 Mac


Terdetik dalam hati untuk saya menulis berkenaan pengisian usrah pemuda sepanggar yang saya hadiri beberapa hari yang lalu. Ini merupakan usrah pemuda yang kali pertama saya hadiri walaupun sudah banyak kali dijemput. Kekangan masa dan gerakkerja yang lain membataskan kehadiran saya untuk mengikuti usrah pemuda tersebut.

Usrah tersebut sepatutnya bermula pada pukul 8.45 pm, namun saya terpaksa datang agak lewat. Bersama-sama saya menghadiri usrah tersebut adalah saudara Fadhil Nur al-Hafiz. Kami sampai agak lewat, dalam pukul 9.40 pm. Ini kerana sebelum tu saya terpaksa menyelesaikan beberapa urusan peribadi yang lain.

Walaupun kami sampai agak lewat, namun kami masih lagi sempat mengikuti perbahasan utama pada malam tersebut. Usrah kali ini membincangkan berkenaan Tafsir Ibnu Kathir surah al-Muzzammil. Naqib yang bertanggungjawab pada malam tersebut adalah Ustaz Murtadha. Semasa kami sampai, Ustaz Norzam tengah mengupas berkenaan ibadat Qiamullail. Semua orang pasti tahu yang surah al-Muzzammil ini membincangkan khusus berkenaan dengan Qiamullail.

Ibadah Qiamullail merupakan satu ibadah wajib kepada Nabi Muhammad SAW. Namun, ibadah ini hanya ibadah sunat kepada ummat baginda. Ibadah Qiamullail ini amat-amat penting untuk membina jiwa yang teguh dan aqidah yang mantap. Banyak kelebihan qiamullail telah dibincangkan pada usrah tersebut diantaranya adalah ibadah qiamullail ini dapat menjadi benteng kepada seorang mukmin. Pada awal dakwah Nabi, tentangan terhadap dakwah untuk menegakkan Islam amat dahsyat. Dan qiamullail-lah menjadi pengubat dan penguat jati diri Nabi dan para sahabat di dalam berdakwah.

Diantara perkara lain yang dibincangkan adalah berkenaan fadilat solat sunat Dhuha. Ustaz Norzam memberi cadangan sekiranya ibadah qiamullail tidak dapat dilakukan setiap malam pun, ahli usrah di galakkan untuk istiqamah melakukan solat sunat Dhuha setiap hari. Mungkin ada sesetengah orang yang agak susah untuk bangun malam untuk solat Tahajjud, namun solat Dhuha boleh dilakukan pada waktu pagi. Tidak ada alasan untuk mengatakan susah untuk bangun dari tidur.

Selain itu, dibincangkan juga bagaimana kita ingin menitiskan air mata ketika bermunajat kepada Allah. Mengikut Ustaz Murtadha/Ustaz Norzam, Umar al-Khattab pernah berkata bahawa kita ini memang susah untuk mengeluarkan air mata, tapi kita kena ‘berlakon’ jugak menitiskan air mata. Kita kena berusaha juga untuk mengeluarkan air mata. Kenangkan dahulu benda-benda yang boleh membuatkan kita sedih dan menitiskan air mata. Selepas air mata telah menitis, cepat-cepat kita mengenangkan dosa-dosa kita yang lalu. InsyaAllah, apabila sudah biasa, ego air mata itu akan hilang apabila mengadap Tuhan Yang Maha Esa.

Banyak lagi sebenarnya isi perbincangan yang dibahaskan pada malam tersebut. Namun penulis sekadar berkongsi intipati utama usrah tersebut. Semoga nukilan ini menjadi peringatan kepada yang menulis dan yang membaca. InsyaAllah.

Saat bermulanya nUriL-FaTeH


Mungkin kebanyakan sahabat tertanya-tanya, kenapa dinamakan blog ini nurilfateh? Bukankah pemilik blog ini bernama Nursyabri? Adakah nurilfateh ini terdiri dari gabungan nama 2 orang, nuril dan fateh? Mungkin ada yang bertanya dan mungkin tiada. Namun, disini penulis ingin membuat pencerahan berkenaan nama nurilfateh..

Bermulanya penulis menulis blog apabila mendapat arahan pimpinan ISEUMS iaitu saudara Nadir an-Nuri. Saudara Nadir merupakan Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP 0708 ketika itu dan merangkap Pengerusi ISEUMS.

Dalam berfikir untuk membuat blog, semestinya memerlukan satu nama yang melambangkan blog kita tersebut.

Inspirasi menamakan blog ini NURILFATEH adalah berdasarkan blog sifu saya sendiri, iaitu sdra. Nadir tersebut. Beliau menamakan blog beliau ‘nurilhakim’. Saya tidak pasti daripada mana beliau mendapat idea menggunakan nama ‘nurilhakim’ tersebut. Pada andaian saya, “nuril” itu adalah dari nama beliau sendiri iaitu “an-Nuri” dan “hakim” itu dari nama Luqmanul Hakim (mungkin beliau amat meminati Luqmanul Hakim).

Dari situlah saya mendapat idea untuk menamakan blog saya. Saya meletakkan “nuril” kerana pada nama saya terdapat kata nama “nur” dan “fateh” itu saya ambil dari nama Sultan Muhammad al-Fateh, seorang pemimpin dan khalifah agung yang amat-amat saya sanjungi. Daripada kata “nur” dan “al-fateh” maka terciptalah nUriL-FaTeH.

Semoga Nursyabri mampu mencontohi Sultan Muhammad al-Fateh walaupun hanya secebis zarah sekalipun. InsyaAllah..

Wednesday, March 03, 2010

Salam nukilan nUriL-FaTeH



Sudah agak lama rasanya saya tidak menulis dalam blog saya ini. Agak kekok juga apabila mula menulis kembali. Kebanyakan artikel-artikel yang saya postkan adalah artikel yang saya copy paste dari blog sahabat-sahabat karib saya. Namun, tidak selamanya saya mesti mengambil artikel orang lain. Menulis juga merupakan satu jalan dakwah. Perubahan mesti dilakukan walaupun secara perlahan-perlahan.

Hidup ini memang sentiasa kena ada perubahan. Selalu kita sebut dan dengar “Hari ini lebih baik dari semalam”. Perubahan perlu berlaku setiap saat dan waktu. Orang mukmin tidak akan berjaya seandainya gagal untuk memperbaiki amal ibadatnya. Amalan juga memerlukan perubahan. Perubahan yang menambahkan mutu ibadat, bukan perubahan yang melesukan ibadat. Ibadat yang lesu akan merencatkan gerakkerja. Jika amalan lesu, jiwa akan lesu. Jiwa seorang pendakwah tidak boleh lesu. Rencana dan perjuangan akan terbantut dan mundur.

Tarbiyyah itu sifatnya memaksa. Dalam melakukan perubahan, diri terpaksa dipaksa untuk berubah. Perubahan memerlukan pengorbanan. Dan pengorbanan memerlukan kerelaan dan keredhaan. Dan mencapai keredhaan Allah adalah puncak segala-segalanya.

Salam wasilah meneruskan perjuangan. Semoga diri ini tetap istiqamah dalam perjuangan menegakkan agama Allah di dalam diri dan masyarakat. Semoga ‘Tinta Pendakwah Muda’ ini sentiasa menjadi medan muhasabah kepada insan bergelar NuriL-FateH..insyaAllah

Cinta Pada Langkah Pertama


Artikel ini dipetik dari blog sahabat ana:
http://puteraazhari.blogspot.com

BEGITU dalam erti cinta bila manusia menginginkan bahagia, tenang, damai di setiap helaian hamparan kehidupan duniawi. Bahagia dicari sudah pasti bermula dari segala hal baik-baik, tenang digali sudah pasti lahir dari permulaan baik-baik, damai disoroti sudah pasti berada di awal segala hal kebaikan. Penentu bahagia, tenang, damai adalah bermula dari langkah pertama, baik langkah pertama, insha-Allah baiklah langkah-langkah kita seterusnya.

Niat, nawaitu...

Cinta anugerah Ilahi. Cinta sejati yang datang dari lubuk hati yang dalam, itu yang dicari. Cinta pada Ilahi adalah tunggak segala-galanya. Apabila ianya kukuh di jiwa, tiada lagi masaalah yang melanda. Cinta adalah satu kuasa dalaman, satu kuasa untuk diri mengubah keadaan. Cinta suci lahir dari hati yang kudus, bersih dari segala kekotoran dalaman dan luaran.

Ramai manusia diserang masalah berkaitan hati, cinta diraih sering kali gagal. Kadang-kadang kita juga sering salahkan takdir, sedangkan kita sebenarnya gagal menempatkan hati pada langkah pertama lagi. Mengalami masalah hati dan jiwa setiap hari, tapi tidak jumpa solusi yang pasti, selalu membuat kesimpulan gunakan hati (nafsu), bukan berdasarkan al-Quran dan al-Hadith.

Semua insan di dunia inginkan kesenangan dan kebahagiaan. Justeru, kekadang bila kita melalui hari dengan mudah pada satu-satu hari, rasa bersyukur teramat sangat. Manakan tidak, setiap hari sebelum memulakan hari baru, kita (niat) sentiasa berdoa demi kebaikan sepanjang hari pada hari tersebut, bermula pada langkah pertama.

Kekadang kita terlalu takut jika Allah Taala tidak menyayangi kita, bilamana kita tidak ditimpakan ujian walau sebutir zarah pada hari-hari yang kita hadapi. Ujian ini, bukan untuk menakutkan diri, tapi mencari hikmah tersembunyi.

Berterima kasihlah kepada Allah Taala kerana masih ditarbiah hati ini.

Cinta melulu hanyalah cinta orang yang lemah iman. Itulah yang berlaku dalam kehidupan kita selama ini. Terlalu sayang, sayang sangat-sangat hingga bisu untuk menegur kesalahan, sudah ketara, tapi buat-buat lupa, sudah tahu dan nyata, tetapi pura-pura buat buta. Hinggakan diri sendiri pun terikut-ikut dan sama-sama jadi buta, gelap gelita.

Ya, bila ujian Allah Taala datang mendidik diri, baru sedar, baru terngadah. Tapi syukur Allah Taala datangkan jua rasa redha di hati ini. Mujurlah jua Allah Taala tunjukkan jalan mengajar hati redha, terima hakikat.

قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا( ) وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسهَا

Allah Taala berfirman, bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)” asy-Syam (91:9-10)

Pasti kalian pernah merasai saat genting ini.

Ada yang selepas berumahtangga, pengamalan agama dianggap enteng. Jika dahulu impian ingin membina bait-muslim itu cukup tinggi tetapi apabila ada kelemahan, kekurangan dan kesilapan yang dilakukan, pasangan hanya mengambil langkah berdiam diri hanya kerana cinta, inilah cinta buta tidak nampak akan kesalahan, matlamat pula menghalalkan cara.

Bila cinta Tuhan diketepi, bila kasih sayang makhluk mendasari hati, nafsu menjadi raja dalam diri, kalam Tuhan tidak lagi diikuti. Sesungguhnya manusia apabila mencintai makhluk-Nya dan mendahului mereka dari Allah, maka tunggulah janji-Nya.

Kadang-kadang untuk menyeru kepada kebaikan agak sukar kerana sesetengah orang akan lebih nampak kepada keburukan. Namun begitu, kita boleh terus berusaha dan istiqamah dalam membuat kebaikan. Kebaikan tidak semestinya melalui lisan, tetapi boleh juga melalui perbuatan. Kadang-kadang apa yang kita buat lebih memberi kesan berbanding dengan apa yang kita cakapkan.

Dunia ini adalah madrasah cinta kita cari.

Allah Taala sedang mengajar dan mendidik kita. Suatu ketika dulu saya juga pernah mengalami perkara yang sama. Namun di teruskan juga menadah, meminta pertolongan Allah. Allah Taala akan terus mengajar dan mendidik kita dengan syarat kita mahu belajar sama ada dari pengalaman yang kita lalui, muhasabah diri seterusnya belajar ilmu-ilmu Islami.

Kita akan sedar, semua ini adalah untuk kebaikan kita juga.

Benarlah, cinta suci, bersih lahir pada langkah pertama kita. Baik niat kita, maka baiklah langkah demi langkah kita susuri.

Sejati Hingga Ke Mati


Artikel ini dipetik dari blog sahabat ana:
http://puteraazhari.blogspot.com


SUSAH benar berjumpa teman sejati. Menemani di kala duka, sanggup bersusah payah demi kebaikan teman-teman lain. Rupa tidak pernah terkesan sama walaupun diri dilamun kesusahan, di depan kita sentiasa ceria bagaikan tiada masalah menimpa, walhal tong beras di rumahnya sudah kering, walhal duit simpanan cukup makan untuk dua hari sahaja, walhal kemiskinan keluarga menghalang dia mengecapi kehidupan sempurna di perantauan, tiada siapa ambil peduli. Hidup hari ke hari, hanya Allah sahaja mengerti. Dia tahu semua orang simpati, tapi dia tidak sanggup kalau semua ini menjadi bebenan kepada teman-temannya yang lain.

Mungkin tanpa disedari, rupa-rupa di sebelah kita ada sahabat seumpama ini, dia tabah dan kuat hadapi mehnah membadai. Sejatinya ukhuwwah ditunjukkan, tiada apa paling sempurna dalam dunia melaikan sempurna ajal kita di helaan terakhir, mati dalam husnul khatimah. Pernahkah kita mengambil tahu perihal masalah teman itu. Sangat buruk kelakuan kita, andai kita senang berbelanja keperluan peribadi tapi gagal melihat kesusahan teman serumah, teman sebilik hanya berpas-pasan hidup membilang tabung duit, terlebih buruk lagi kita makan untuk kenyang perut sendiri, tapi teman dibiarkan kebuluran.

Bila kita berada dalam kesempitan, dia sanggup buat apa sahaja asalkan kita senang, dia tidak pernah mengungkit itu dan ini. Pernahkah kita ditimpa rasa risau bukan kerana masalah kita, tapi risau teman kita belum makan, risau teman kita mengidap sakit, risau teman kita tidak punya belanja cukup, risaukan teman-teman lain melebihi risau diri sendiri. Pernah?

Kalau belum, iman kalian masih dirundum masalah, iman kalian masih mandul, iman kalian belum sempurna. Benar, tiada siapa sempurna tapi kalian tidak mempunyai ‘nafsu’ untuk menjadi lebih sempurna. Bagaimana? Antara lain adalah menjadi sejati, dan mengerti erti sejati pada pandangan mata hati teman-teman kalian.

Memang diakui memang sukar untuk mencari sahabat. Kawan memang ramai tapi dalam banyak-banyak kawan tu belum tentu satu pun yang akan terus menjadi sahabat anda sehingga akhir hayat. Malah pasangan anda juga belum tertakdir untuk menjadi seorang sahabat. Masalah bukan dia, bukan salah sesiapa dalam hal ini tapi kita. Kita tidak pernah menunding jari pada diri, kenapa tidak sahaja kita mulakan dahulu erti sejati tadi, kita lakukan dulu.

Sudah!!!

Saya tidak mahu lagi dengar alasan dangkal kalian itu, bukan itu saya mahukan. Biar saya sahaja berbicara tentang sejati. Kalian cuma pasang telinga ‘hati’, cermati dengan mata ‘hati’, dengar dan cermati baik-baik...

Susah mencari teman sejati, sehati, dan semati. Kita diberi akal supaya bijak bersepsi. Ya.. bergantung kepada persepsi kita kepada maksud sejati itu, adakah kita mahu dia tunduk kepada kita, atau sentiasa menemani kita di kala susah senang. Apakah kita sanggup melakukan hal yang sama? Atau hanya kerana ada maksud tertentu. Bila maksud itu telah dicapai, atau tidak dapat dicapai lalu kita ditinggalkan.

Kalian silap.

Teman sejati, ialah teman yang tidak mengenal keburukan kita tapi mengenal kebaikan kita. Dia tidak pernah mengenal senang kita, tapi mengenal susah kita. Inilah yang cuba saya tekankan di sini. Dia tidak pernah mengharap redha kita, tapi mengharap redha-Nya. Kerana kejujuran kita, dia jatuh sayang kepada kita. Sejatinya dia kepada kita, dia tidak pernah tahu apakah kebaikan yang dia telah lakukan untuk kita.

Memang lumrah hidup, kadang-kadang apabila kita melihat kebaikan orang lain, kita hanya akan memikirkan dan mengharapkan yang baik-baik sahaja, serba-serbi sempurna, tiada cacat-cela. Pantang ada sedikit kesilapan, kita akan cepat-cepat menuding jari, menghukum si dia yang hanyalah insan biasa seperti kita. Mulalah kita akan bercakap yang bukan-bukan. Tapi dia sabar, sebab dia ada sejati di dalam hati.

Tugas kita bukan mencari sempurna luaran sahaja, berkedudukan, berharta, itu adalah bonus kalian, tapi kita mahukan adalah sempurna iman kerana adanya sejati. Tidak mengapalah kalian mencari kurang sejati, tapi kerana kalian sempurna, sejati, kalian mampu mendidik dia menjadi sejati jua.

Kalau tidak kerana sejati di hati, manakan Kota Madinah menjadi negara Islam pertama di dunia. Kalau bukan kerana sejati, masakan Abu Bakar ra sanggup meninggalkan kekuasaan, kekayaan kerana Islam, cinta beliau kepada baginda s.a.w. Kalau bukan kerana sejati manakan Kota Kostentinopel berjaya ditawan oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Kalau bukan kerana sejati, masakan Baitul-Maqdis dapat dipertahankan hingga ke hari ini. Darah syahid mereka menjadi saksi akan sejati mereka mempertahankan hak pribumi. Kerana apa semua ini, kalau bukan sejati.

Umat Islam adalah pengikut yang setia, sejati dilipatan sejarah. Kini kesedaran berukhuwwah di kalangan anak-anak muda makin merusut. Nah, lihat sahaja di madrasah, di sekolah agama sebagai bukti. Di manakah akhirnya mereka? Mereka terpaksa bergelumang dan bersaing dengan pelbagai macam jurus pemikiran, silibus, dan anasir sosial, hingga lupa matlamat sosial akhirnya adalah sejati.

Walau apapun jua balada, mahupun krisis dilagukan, kita tetap sahaja berkehendakkan seorang sahabat, seorang kawan, seorang teman sejati di sisi. Seorang imam tetap sahaja dianggap gagal, jika jamaah solat di surau makin hari makin surut, waima sekalipun dia mempunyai ramai Bilal yang lunak suara mengajak manusia solat dan menuju kejayaan. Kenapa? Kurangnya sejati antara imam, bilal dengan jamaah.

Baiklah teman sejati...

SEJATI DI HATI SAYA

Saya faham akan perasaan itu. Saya seorang yang gemarkan sesuatu yang melibatkan artistik atau kreativiti seperti menulis. Bahkan, saya jenis seorang yang suka berkongsi pendapat dan idea mengenai perkara-perkara tersebut. Tetapi, setakat ini saya belum berjumpa mereka yang boleh berkongsi semua itu dengan saya.

Rata-rata rakan-rakan yang rapat dengan saya kecenderungan mereka ke arah lain. Akhirnya, mahu tidak mahu saya akan ikut rentak mereka. Tetapi, tatkala bersendirian, saya akan jalankan aktiviti dan minat saya itu. Tetapi, saya sunyi bila mengenangkan saya terpaksa bersendirian layan minat saya itu.

Paling saya terharu, rata-rata orang yang memberikan sokongan dan sekali-sekala berkongsi idea dan minat saya itu ialah orang yang jarang saya jumpa atau senang cerita seseorang yang tidak rapat dengan saya. Bahkan, minat saya dalam penulisan dibantu oleh rakan yang saya langsung tidak rapat. Rupa-rupanya, sejati tidak semestinya bisa dilihat di mata, tapi kuat di hati, kuat mengikat walaupun tidak pernah bersua. Kalian adalah sahabat sejati saya. Terima kasih untuk itu.

Suka duka saya mereka cuba fahami walaupun kadang-kala sukar.

Mereka mungkin bukanlah teman sejati atau sahabat sejati tetapi pada pandangan kalian, tapi bukan saya. Bagi saya mereka tetap kawan yang terbaik. Kawan yang sudi memahami dan memberi sokongan. Bagi saya itu yang terbaik.

Saya ada pandangan saya sendiri tentang sahabat sejati. Sahabat sejati ialah anugerah dari Allah Taala. Dia bukan milik kita. Dia ialah pinjaman semata-mata di mana suatu saat nanti, dia tetap diambil oleh-Nya. Dia ialah seseorang yang memang dicipta untuk kita. Walau dalam keadaan apa sekalipun, hatinya tidak mudah mengatakan benci, tapi dia bukan sukar ungkapkan kata ‘sayang’.

Saya percaya pada satu sahaja. Orang yang benar-benar sayang atau anggap kita sebagai sahabat sejatinya, lidahnya sukar bicarakankan apa-apa, sebab dia tahu, sekali dia tuturkan sayang sehingga bila-bila pun dia akan sayang. Dia takut, nanti dia kehilangan kita, dan dia akan merana. Sebelum dia bicarakan apa-apa, lebih baik dia berserah sahaja. Dia percaya, jika sudah tertulis dia adalah sahabat sejati dunia dan akhirat, macam mana berpisah pun, jika ikatan hati itu kukuh, persahabatan sejati itu tetap akan terus kekal sampai ke akhirat.

Sudikah kalian menjadi teman sejati mulai saat ini? Berjanjilah dengan saya, buktikan kalian juga diciptakan untuk berpas-pasan demi kebahagian sahabat, kawan, teman dicintai. Sejati di hati hingga mati.

Kalian adalah sahabat sejati saya mulai sekarang.